WAHYU, ILMU LADUNI, FIRASAT DAN KASYAF
Hati kalau sudah bersih, pandangannya akan menembusi segala hijab-hijab iaitu tabir alam maddiah (benda).
Akan tersingkap hijab-hijab itu dan terbanglah ia ke alam ghaib yang
maha luas setakat yang diizinkan oleh Allah Taala. Hati yang benar-benar
bersih, di waktu itulah Allah SWT curahkan ke dalamnya perkara atau
barang yang berharga dan terlalu bernilai iaitu keimanan, keyakinan,
ketaqwaan, hikmah, wahyu, kasyaf, ilmu laduni, firasat dan lain-lain
lagi. Huraian, tafsiran atau penjelasan tentang halhal ini akan
diperbahaskan secara terperinci, di bawah tajuknya yang tersendiri.
WAHYU
Ia adalah ilmu yang Allah sampaikan kepada rasul-rasul dan nabi-nabi
secara terus atau direct. Atau melalui perantaraan malaikat, terus jatuh
ke hati mereka, terus dapat dihafal dan tidak lupa buat selama-lamanya.
Ianya berlaku tanpa usaha ikhtiar dan tanpa belajar. Inilah mauhibah
atau anugerah dari Allah. Wahyu membawa syariat baru, memansuhkan
syariat yang sebelumnya.
ILMU LADUNI ATAU ILHAM
Apakah itu ilmu laduni? Ia adalah ilmu yang membawa pengertian atau
makna yang baru kepada syariat, bukan membawa syariat baru. Ilmu laduni
atau ilmu ilham ialah ilmu yang Allah jatuhkan ke dalam hati para
wali-Nya, tanpa melalui proses usaha ikhtiar atau hasil mendengar kuliah
daripada guru atau hasil berfikir. Ia terjatuh direct ke dalam hati.
Yang mana bila disyarahkan atau dihuraikan, ia jadi satu ilmu atau satu
huraian yang sangat ilmiah. Ertinya ia jadi satu ilmu yang sangat
bermanfaat. Ilmu yang didapati itu tepat, meyakinkan, logik, memberi
kepuasan serta tidak meletihkan otak. Bagaimana pun ia boleh lupa
daripada ingatan. Berbeza dengan ilmu hasil belajar, membaca, berfikir
atau mentelaah yang cepat menjemukan. Kadang-kadang ianya tidak tepat,
tidak meyakinkan atau tidak logik dan meletihkan. Untuk mendapatkannya
perlu proses masa yang lama. Ertinya hasil membaca, berfikir setelah
faham baru dapat ilmu.
Kalau begitu ilmu laduni atau ilmu ilham bukan membawa syariat yang
baru. Ia membawa makna atau tafsiran yang baru, yang sesuai dijadikan
tindakan dan penyelesai masalah untuk zamannya atau makna yang tertentu,
khusus untuk orang itu. Mengapa pula ilmu ilham atau ilmu laduni ini
dikatakan sebagai penyelesai masalah sesuai dengan zamannya dan bukan
untuk semua zaman? Kalau saya hendak misalkan ilmu Allah itu yakni ilmu
Al Quran atau Sunnah Rasul, yang maha luas dan tidak berkesudahan itu
diibaratkan sebagai khazanah lautan, setiap orang yang mencari khazanah
lautan itu insya-Allah dapat sesuatu yang bermanfaat untuk dirinya dan
juga untuk orang lain. Apa yang diperolehi oleh setiap orang itu mungkin
tidak sama di antara satu sama lain. Mungkin ada yang dapat kerang atau
ada yang dapat ikan sahaja. Orang yang dapat ikan pula mungkin tidak
sama jenisnya. Ada yang dapat ikan yu, ada yang dapat ikan pari, ikan
kembung dan sebagainya. Ada juga yang dapat minyak, mutiara, batu karang
dan lain-lain lagi.
Bagi orang yang tidak faham, dia akan mengatakan kepada orang yang
dapat batu karang: “Awak ni tak dapat apa-apalah! Saya dapat ikan.
Inilah khazanah lautan yang sebenar. Awak ni dapat batu karang dari
hutan mana?” Tapi bagi orang yang dapat batu karang menyangka mereka
yang dapat ikan itu bukan dari khazanah laut. Akhirnya berlakulah
tuduh-menuduh. Sebenarnya kerang dan ikan sama-sama khazanah laut,
tetapi oleh kerana masing-masing kurang ilmu, maka masing-masing
menganggap apa yang mereka dapat itulah sebenarnya dari laut. Yang lain
bukan dari laut. Lebih-lebih lagi orang yang dapat minyak, tentulah
mereka lebih sombong lagi dan menuduh orang-orang yang dapat benda-benda
lain tidak dianggap dari khazanah laut. Oleh itu bagi orang yang faham
tentang laut, ia tidak jadi masalah. Semua yang disebut itu adalah
khazanah lautan. Cuma keperluan saja yang tidak sama. Ikan untuk
dimakan. Kalau minyak untuk enjin dan batu karang pula untuk hiasan dan
begitulah seterusnya.
Jadi, orang yang dikurniakan ilmu laduni atau ilmu ilham ini adalah
orang yang mendapat khazanah dari lautan ilmu Allah. Ada macam-macam
ilmu dan setiap sesuatu ilmu itu mempunyai banyak pengertian dan
tafsirannya. Jadi Allah memberi pengertian dan tafsiran satu-satu ayat
sesuai pada seseorang itu untuk menyelesaikan masalah di zamannya atau
keperluan seseorang itu. Perkara itu pula kebanyakannya bukan pengertian
mengenai hukum-hakam kerana soal itu sudah tetap dan tidak berubah
untuk setiap zaman kecuali perkara khilafiah. Sebaliknya ilmu laduni ini
kebanyakannya mengenai penghuraian, falsafah, didikan, hal semasa, metod
dan kaedah sahaja. Perkara-perkara ini boleh berubah.
Jika ilmu wahyu disampaikan kepada rasul atau nabi, ilmu laduni atau
ilmu ilham pula Allah kurniakan kepada para wali dan orang-orang soleh.
Ilmu wahyu adalah syariat baru yang memansuhkan syariat yang diamalkan
sebelumnya manakala ilmu laduni akan membawa tafsiran atau makna baru
kepada ilmu wahyu itu, sesuai untuk zamannya atau orangnya. Ilmu wahyu
tidak dilupakan tetapi ilmu laduni atau ilham mudah dilupakan oleh orang
yang menerimanya. Kalau yang menerima ilmu wahyu itu adalah rasul maka
wajib ianya disampaikan tetapi kalau dia seorang nabi, maka tidak wajib
menyampaikannya. Sedangkan ilmu laduni elok disampaikan kerana ia akan
dapat menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sedang dihadapi oleh
masyarakat, sesuai untuk zamannya. Atau untuk mengetahui hikmah atau
pengajaran sesuatu hukum itu.
Kalau ilmu wahyu ditolak, automatik seseorang itu akan jatuh murtad
atau kafir dan di Akhirat akan terjun ke Neraka serta kekal
selama-lamanya. Sebaliknya kalau menolak ilmu laduni atau ilmu ilham,
tidak menjadi kafir tetapi akan menghilangkan barakah dan tertutup pintu
bantuan Allah. Mungkin ada orang yang akan menolak pendapat ini tentang
ilmu laduni ini dan payah untuk menerimanya terutamanya:
1. Orang yang tidak percaya adanya ilmu laduni atau ilham di dalam Islam.
2. Seseorang yang tidak ada ilmu ini dan tidak ada pengalaman mengenainya, sekalipun dia mempercayainya.
3. Seseorang yang tahu mengenai ilmu ini tetapi kerana hasad dengki,
dia tidak senang dengan orang yang mendapat ilmu ini, maka dia pun
buat-buat menolaknya, sedangkan hatinya membenarkan.
Apa bukti ilmu laduni atau ilmu ilham ini wujud? Buktinya, adalah berdasarkan hujah berikut:
PERTAMA: Hujah naqli (nas)
1. Hujah Al Quran
Dalam Al Quran ada dalil yang kuat sebagai bukti kewujudan ilmu ini.
“Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan ajar kamu.” (Al
Baqarah: 282) Dalam ayat ini jelas Allah memperkatakan tentang
orang-orang bertaqwa yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah, Allah
akan beri ilmu secara wahbiah, tanpa usaha ikhtiar, tanpa belajar atau
berguru.
2. Hujah Hadis
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan padanya ilmu yang dia tidak tahu.”
(Dikeluarkan oleh Abu Nuaim) Inilah buktinya. Ertinya ilmu yang telah
sedia ada itu akan bertambah bila diamalkan. Yakni ia akan dapat ilmu
baru hasil dipraktikkan ilmu itu. Proses ini juga berlaku secara
wahbiah.
Inilah yang dikatakan ilmu laduni atau ilmu ilham yang mana Allah pusakakan melalui tiga cara:
i. Ilmu itu Allah jatuhkan terus ke dalam hati.
ii. Adakalanya Allah tayangkan ilmu itu yang boleh dilihat
seolah-olah melihat skrin TV. Sedangkan orang lain yang ada bersama-sama
dengannya ketika itu tidak dapat melihatnya.
iii. Atau mungkin mendengar suara yang membisikkan ke telinganya
tetapi tidak nampak rupa makhluknya. Inilah yang dikatakan hatif.
Mungkin suara ini suara malaikat, jin yang soleh atau wali-wali Allah.
KEDUA: Bukti Sejarah
Banyak kitab dahulu menceritakan bagaimana pengalaman salafussoleh,
ulama-ulama besar dan pengarang-pengarang kitab sendiri yang mendapat
ilmu-ilmu laduni ini. Ada kitab-kitab karangan ulama muktabar yang
menunjukkan pengarangnya mendapat ilmu laduni. Di antara ulama yang
memperolehi ilmu laduni atau ilmu ilham ini di samping ilmu melalui
usaha ikhtiar ialah imam-imam mazhab yang empat, ulama-ulama Hadis
seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, ulama-ulama tasawuf seperti Imam Al
Ghazali, Imam Nawawi, Imam Sayuti, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Junaid Al
Baghdadi, Hassan Al Basri, Yazid Bustami, Ibnu Arabi dan lain-lain
lagi.
1. Imam Al Ghazali
Umurnya pendek sahaja iaitu sekitar 54 tahun. Beliau mula mengarang
selepas sahaja habis bersuluk di kubah Masjid Umawi di Syam (Syria).
Umurnya waktu itu sekitar 40 tahun. Ertinya dalam hidupnya dia mengarang
sekitar 14 tahun. Dalam waktu yang pendek ini dia sempat mengarang 300
buah kitab yang tebal-tebal, yang bermacam-macam jenis ilmu pengetahuan
termasuklah kitab yang paling masyhur iaitu Ihya Ulumuddin, kitab
tasawuf (dua jilid yang tebal-tebal) dan Al Mustasyfa (ilmu usul fiqh
yang agak susah difahami).
Cuba anda fikirkan, bolehkah manusia biasa seperti kita ini menulis
sebanyak itu. Walau bagaimana genius sekalipun otak seseorang itu, tidak
mungkin dalam masa 14 tahun boleh menghasilkan 300 buah kitab-kitab
tebal, kalau bukan kerana dia dibantu dengan ilmu laduni yakni ilmu
tanpa berfikir, yang terus jatuh ke hati dan terus ditulis. Dalam
pengalaman kita kalau ilmu hasil berfikir dan mengkaji, sepertimana
profesor-profesor sekarang, dalam masa empat tahun baru dapat membuat
satu tesis di dalam sebuah buku. Kalau satu buku mengambil masa empat
tahun, ertinya kalau 14 tahun dapat tiga buah buku. Terlalu jauh bezanya
dengan Imam Ghazali yang mencapai 300 buah buku itu.
2. Imam Sayuti
Umurnya juga pendek, hanya 53 tahun. Beliau mula mengarang sewaktu
berumur 40 tahun dan dapat menghasilkan 600 buah kitab. Dalam masa hanya
13 tahun dapat menghasilkan sebegitu banyak kitab. Ertinya dia dapat
menyiapkan sebuah kitab setiap dua minggu. Kitabnya itu pula tebal-tebal
dan tinggi perbahasannya dalam bermacam-macam jenis ilmu. Antara
kitabnya yang terkenal Al Itqan fi Ulumil Quran, Al Hawi lil Fatawa (dua
jilid), Al Jamius Soghir (mengandungi matan-matan Hadis), Al Ashbah wan
Nadzoir, Tafsir Jalalain, Al Iklil dan lain-lain lagi. Kalaulah beliau
menulis atas dasar membaca atau berfikir semata-mata, tentulah tidak
mungkin dalam masa 13 tahun da-pat menulis 600 kitab atau tidak mungkin
dalam masa hanya dua minggu dapat tulis sebuah kitab. Inilah ilmu
laduni. Tidak hairanlah hal ini boleh berlaku kerana dalam kitab Al
Tabaqatul Kubra karangan Imam Sya’rani ada menceritakan yang Imam Sayuti
dapat yakazah dengan Rasulullah sebanyak 75 kali dan dia sempat
bertanya tentang ilmu dengan Rasulullah.
3. Imam Nawawi
Beliau adalah antara ulama yang meninggal sewaktu berusia muda, iaitu
30 tahun. Beliau tidak sempat berkahwin tetapi banyak mempusakakan
kitab-kitab karangannya. Di antara yang terkenal ialah Al Majmuk yakni
kitab fekah. Kalau ditimbang berat kitab itu lebih kurang 3 kilogram,
yakni kitab fekah yang sangat tebal. Selain itu termasuklah kitab
Riadhus Solihin, Al Azkar dan lain-lain lagi. Untuk mengarang kitab Al
Majmuk saja kalau ikut kaedah biasa yakni atas dasar kekuatan otak,
tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa dua atau tiga tahun. Mungkin
memakan masa 10 tahun. Ini bererti dia mula mengarang semasa berumur 20
tahun. Biasanya di umur ini orang masih belajar lagi. Tetapi di usia
semuda itu Imam Nawawi mampu mengarang bukan saja Al Majmuk, tetapi
turut mengarang kitab-kitab besar yang lain. Ini luar biasa! Biasanya
orang jadi pengarang kitab di penghujung usianya. Ini membuktikan selain
dari cara belajar, ada ilmu yang Allah pusakakan tanpa belajar, tanpa
usaha ikhtiar dan tanpa berguru. Itulah dia ilmu laduni atau ilmu ilham.
Sesudah kita mengkaji kemampuan ulama-ulama dahulu, kita lihat pula
ulama-ulama sekarang ini dan cuba kita bandingkan. Berapa banyakkah
buku-buku atau kitab yang telah ditulis oleh mereka sekalipun setelah
mereka ada PhD? Oleh itu, jika ulama-ulama dulu mampu menulis
kitab-kitab yang banyak dan tebal-tebal dalam masa yang singkat tentulah
ianya bantuan Allah yang luar biasa melalui ilmu laduni atau ilmu ilham
yang bersifat wahbi di samping ilmu kasbinya. Jelaslah sekarang ini
sudah tidak ada lagi ulama yang dapat ilmu laduni. Ini kerana kita semua
sudah bersalut dengan cinta dunia dan berkarat dengan mazmumah.
Lihatlah zaman sekarang ini, susah untuk kita dapati ulama yang
mengarang buku atau kitab. Mereka tidak mampu mengarang kerana
kekeringan minda, sibuk dengan dunia, di samping perlu menggunakan otak,
berfikir, membaca, banyak mentelaah dan kena banyak reference yang
tentunya memakan masa yang lama. Ini semua membosankan dan meletihkan,
banyak ambil masa serta tidak cukup masa. Mereka tidak dapat pula ilmu
melalui saluran ilham. Maka inilah rahsia kenapa ulama sekarang tidak
menulis atau kurang menulis.
FIRASAT
Firasat ialah perasaan atau gerakan hati yang benar atau tepat kerana mendapat pimpinan dari Allah. Sabda Rasulullah: “Takutlah olehmu firasat oran mukmin kerana ia memandang dengan cahaya Allah.” (Hadis Riwayat At Tarmizi)
Jika hati kotor, syaitanlah yang mengisinya yakni jahat sangka, keraguan dan lain-lain lagi.
Apa itu kasyaf? Kasyaf ertinya ‘singkap’ yakni
tabir-tabir jadi penghalang atau yang jadi hijab pada mata batin untuk
melihat alam ghaib atau rohaniah itu, Allah singkapkan. Allah buka dan
perlihatkan. Tabir-tabir penghalang itu adalah sifat-sifat mazmumah.
Apabila tabir-tabir mazmumah itu sudah terangkat, maka hatinya jadi
celik dan terang-benderang, putih bersih. Sehingga mata mampu melihat
makhluk-makhluk Allah yang pelik-pellik di alam yang bukan alam benda
atau material itu seperti melihat alam jin, malakut dan alam barzakh.
Juga dapat melihat sifat batin manusia yakni seseorang itu berperangai
seperti kuda, maka rupa orang itu seperti kuda. Kalau berperangai
anjing, orang itu berupa anjing. Allah perlihatkan hakikat orang itu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar