ILMU TASAWUF, ILMU HAKIKAT ATAU ILMU BATIN
Sebenarnya ilmu rohaniah itu adalah ilmu tasawuf atau dikatakan juga sebagai ilmu hakikat atau ilmu batin.
Mengapa ilmu ini dikatakan ilmu rohani? Ini kerana perbahasannya adalah
mengenai roh. Mengapa pula ia juga dikatakan ilmu tasawuf? Jika kita
lihat perbincangan para ulama termasuk ulama moden, perkataan tasawuf
itu diambil daripada bermacam-macam perkataan. Tetapi di sini saya hanya
memilih salah satu daripadanya iaitu dari perkataan sofa’ bermakna
bersih atau murni.
Tegasnya, ilmu tasawuf itu adalah ilmu bagaimana hendak membersihkan
atau memurnikan roh (hati) atau nafsu. Agar dari dorongan hati yang
bersih itu dapat membersihkan pula anggota lahir daripada melakukan
kemungkaran dan kesalahan. Oleh itu, ilmu tasawuf itu adalah ilmu
mengenai cara-cara membersihkan lahir dan batin daripada dosa dan
kesalahan. Bahkan kesalahan lahir ini berpunca dari kesalahan batin.
Dosa lahir ini berlaku setelah berlakunya dosa batin. Maka sebab itulah
ia dikatakan ilmu tasawuf.
Kenapa pula ilmu ini juga dikatakan ilmu batin? Ini kerana roh atau
hati memang tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Ia adalah makhluk yang
tersembunyi. Maka ilmu ini dinamakan ilmu batin kerana ia membahaskan
tentang hati dan sifat-sifatnya yang memang tidak dapat dilihat dengan
mata lahir tapi dapat dilihat oleh mata batin.
Mengikut pandangan umum masyarakat sekarang, bila disebut ilmu batin,
mereka menganggap itu adalah ilmu pengasih atau ilmu kebal. Orang yang
belajar ilmu batin bermakna dia belajar ilmu kebal atau belajar ilmu
pengasih. Sebenarnya orang itu belajar ilmu kebudayaan Melayu, yang mana
ilmu itu ada dicampur dengan ayat-ayat Al Quran. Kebal juga adalah satu
juzuk daripada kebudayaan orang Melayu yang sudah disandarkan dengan
Islam. Kalau kita hendak mempelajarinya tidak salah jika tidak ada
unsur-unsur syirik. Tetapi itu bukan ilmu tasawuf atau ilmu kerohanian
seperti apa yang kita bahaskan di sini.
Adakalanya ilmu tasawuf dipanggil juga ilmu hakikat. Ini kerana
hakikat manusia itu yang sebenarnya adalah rohnya. Yang menjadikan
manusia itu hidup dan berfungsi adalah rohnya. Yang menjadikan mereka
mukalaf disebabkan adanya roh. Yang merasa senang dan susah adalah
rohnya. Yang akan ditanya di Akhirat adalah rohnya. Hati atau roh itu
tidak mati sewaktu jasad manusia mati. Cuma ia berpindah ke alam Barzakh
dan terus ke Akhirat.
Jadi hakikat manusia itu adalah roh. Roh itulah yang kekal. Sebab itu ia dikatakan ilmu hakikat.
Oleh yang demikian apabila kita mempelajari sungguh-sungguh ilmu
rohani ini hingga kita berjaya membersihkan hati, waktu itu yang hanya
kita miliki adalah sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji.
Sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat terkeji sudah tidak ada lagi.
Maka jadilah kita orang yang bertaqwa yang akan diberi bantuan oleh
Allah SWT di dunia dan Akhirat. Kebersihan hati inilah yang akan menjadi
pandangan Allah.
Maksudnya, bila hati bersih, sembahyangnya diterima oleh Allah SWT.
Bila hati bersih, puasanya diterima oleh Allah. Bila hati bersih,
perjuangannya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, wirid dan zikirnya
diterima oleh Allah. Bila hati bersih, pengorbanannya diterima oleh
Allah. Tetapi bila hati tidak bersih, seluruh amalan lahirnya tidak akan
diterima.
Itulah yang dimaksudkan di dalam ajaran Islam bahawa walaupun
kedua-dua amalan lahir dan amalan batin diperintahkan melaksanakannya
tetapi penilaiannya adalah amalan roh atau hatinya. Ini sesuai dengan
Hadis yang bermaksud: “Cukup sembahyang sunat dua rakaat daripada hati
yang bertaqwa.” Maknanya dua rakaat sembahyang seorang yang bertaqwa itu
lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tetapi hati masih
kotor. Selain sembahyang itu diterima, dua rakaat sembahyang dari hati
yang bertaqwa itu akan memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu.
Sembahyangnya itu boleh mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran dan
kemaksiatan, lahir dan batin.
Berdasarkan Hadis di atas, kita cukup bimbang kerana selama ini kita
telah mengerjakan sembahyang, sudah lama berjuang, sedikit sebanyak
sudah berkorban, sudah habiskan masa untuk berdakwah, sembahyang
berjemaah, ikut jemaah Islamiah, yang mana ini semua adalah amalan
lahir, rupa-rupanya Allah tidak terima semua amalan itu disebabkan hati
kita masih kotor. Roh kita masih tidak bersih. Oleh itu dalam kita
menunaikan kewajipan yang lahir ini, jangan lupa kita memikirkan roh
kita. Kerana roh yang kotor itulah yang akan mencacatkan amalan lahir,
mencacatkan sembahyang, mencacatkan segala ibadah dan mencacatkan pahala
seluruh kebaikan kita.
Orang yang banyak amal ibadah, di langit yang pertama sudah tercampak
amalannya. Kalaupun boleh naik, di langit yang kedua pula tersekat.
Begitulah seterusnya di pintu-pintu langit yang lain hingga sampai ke
pintu langit yang ketujuh, tersangkut lagi. Itu bagi orang yang beramal,
masih tertolak amalannya. Bagaimana agaknya kalau orang yang tidak
beramal langsung?
Mengapa amalan lahir itu tersangkut? Tersangkutnya amalan itu kerana
ia ada hubungan dengan penyakit batin atau roh (hati) kita yang masih
kotor. Orang yang mengumpat umpamanya, kerana hatinya sakit. Walaupun
mengumpat itu nampaknya amalan lahir, mulutnya yang bercakap tetapi ia
datang dari hati yang kotor. Sebenarnya hati itulah yang mengumpat.
Hasad dengki, riyak, kibir, sombong dan sebagainya, itu semua amalan
hati. Rupa-rupanya yang menghijab amalan lahir ini adalah mazmumah hati.
Amalan hati (roh) ini hendaklah dijaga kerana mazmumah hati inilah yang
membatalkan pahala amalan-amalan lahir.
Ditegaskan sekali lagi, ilmu rohani adalah ilmu yang mengesan tabiat
roh atau hati sama ada yang mazmumah atau mahmudahnya. Bukan untuk
mengetahui hakikat zat roh itu sendiri. Hakikat roh itu sendiri tidak
akan dapat dijangkau oleh mata kepala atau tidak akan dapat dibahaskan.
Tetapi apa yang hendak dibahaskan adalah sifat-sifatnya sahaja supaya
kita dapat mengenal sifat-sifat roh atau hati kita yang semula jadi itu.
Mana-mana yang mahmudahnya (positif) hendak dipersuburkan dan
dipertajamkan. Kita pertahankannya kerana itu adalah diperintah oleh
syariat, diperintah oleh Allah dan Rasul dan digemari oleh manusia.
Mana-mana yang mazmumahnya (negatif) hendaklah ditumpaskan kerana
sifat-sifat negatif itu dimurkai oleh Allah dan Rasul serta juga dibenci
oleh manusia.
Oleh yang demikian, sesiapa yang memiliki ilmu tentang roh ini,
mudahlah dia mengesan sifat-sifat semula jadi yang ada pada roh itu.
Mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat ditumpaskan.
Maka jadilah roh atau hati seseorang itu bersih dan murni.
Sedangkan hati adalah raja dalam kerajaan diri. Bila raja dalam
kerajaan diri ini sudah bersih, baik, adil, takut kepada Allah,
mencintai Allah dan Rasul, maka sudah tentu dia akan mendorong rakyat
dalam dirinya iaitu anggota (jawarih) ini untuk tunduk dan patuh kepada
Allah. Mudah untuk membangunkan syariat dan Sunnah Rasulullah SAW serta
mudah berbuat bermacam-macam bentuk kebaikan lagi.
Maka kebaikan anggota lahir inilah yang merupakan buah daripada
kebersihan jiwa itu sendiri. Jadi kebersihan jiwa itulah pokok yang
melahirkan kebaikan kepada tangan, mulut, mata, telinga, kaki dan
seluruh tindakan lahir kita ini. Maka bila roh sudah baik, akan jadi
baiklah seluruh lahir dan batin manusia. Bila baik lahir batin manusia,
dia akan menjadi orang yang bertaqwa.
Bila dia telah menjadi orang yang bertaqwa, maka dia dapat pembelaan
dari Allah sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Selagi belum menjadi
manusia yang bertaqwa, tidak ada jaminan dari Allah akan dibela sama ada
di dunia mahupun di Akhirat. Kalau sekadar menjadi orang Islam, tidak
ada jaminan dari Allah untuk dibela.
Dalam Al Quran, Allah tidak mengatakan akan membela orang Islam.
Tidak ada satu ayat pun yang Allah berjanji hendak membantu orang Islam.
Tetapi yang ada dalam ayat Al Quran mahupun dalam Hadis, Allah hanya
membantu orang-orang mukmin yang bertaqwa. Jadi bila jiwa sudah bersih,
maka akan bersih lahir dan batin, maknanya orang itu sudah memiliki
sifatsifat taqwa. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam Al Quran:
“Hendaklah kamu berbekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah
sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197)
Bila seseorang itu sudah dapat berbekal dengan sifat-sifat taqwa,
maka dia akan dapat pembelaan dari Allah SWT. Pembelaan di dunia mahupun
di Akhirat. Sebenarnya, di sinilah rahsia kejayaan dan kemenangan umat
Islam. Juga rahsia kehebatan umat Islam hingga berjaya menumpaskan
musuh-musuhnya sama ada musuh lahir mahupun musuh batin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar