MENAJAMKAN RASA KEHAMBAAN DAN RASA BERTUHAN
Jika seseorang itu dapat menajamkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan di dalam hatinya maka kesannya adalah seperti berikut:
Pertama: Jika sifat dan rasa kehambaan itu amat kuat
berlaku pada seseorang muslim itu, ia akan menghilangkan atau
memusnahkan sifatsifat mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub, sum’ah,
sombong, pemarah, hasad, dendam dan lain-lain lagi.
Sebaliknya apabila rasa kehambaan itu tidak wujud, maka akan lahirlah
rasa ketuanan. Rasa ketuanan itulah yang melahirkan rasa sombong,
riyak, sum’ah, pemarah, hasad, minta dipuji, meninggi diri, dendam,
tamak dan lain-lain lagi.
Kemudian jika sifat ketuanan itu dibiarkan subur dan dibaja, maka
akan lahirlah pada seseorang itu rasa atau sifat ketuhanan yang mana ia
adalah milik Allah SWT. Maka jatuhlah dia kepada syirik.
Wal’iyazubillah. Dan kalau dia orang yang berkuasa, maka dia akan
menjadi orang yang sangat zalim dan kejam. Oleh itu kita sebagai hamba,
kenalah mempertajam dan menyuburkan rasa kehambaan itu agar segala
sifat-sifat mazmumah hilang. Begitulah yang dituntut oleh Allah Taala
kepada hamba-hamba-Nya. Apabila rasa kehambaan itu menghilangkan
sifat-sifat mazmumah seperti yang telah disebut tadi maka secara
automatik lahirlah pada diri seseorang itu sifat-sifat mahmudah seperti
merendah diri, malu, bertolak ansur, berkasih sayang, bertimbang rasa,
mengutamakan orang lain, bertawakal, sabar, rasa berdosa, rasa kurang,
rasa lemah, rasa mengharap, memberi maaf, meminta maaf, merasa diri
bersalah, rasa berdosa dan lain-lain lagi.
Kedua: Apabila rasa bertuhan benar-benar dihayati
dan benar-benar mencengkam hati seseorang muslim serta dibawa ke
mana-mana, maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia rasa
diawasi dan diperhati oleh Allah Taala. Rasa malu sentiasa wujud. Rasa
takut tidak akan lekang lagi dari seseorang itu. Dia akan benar-benar
merasa dirinya di dalam kekuasaan Allah. Nasibnya benar-benar ditentukan
oleh Allah Taala.
Maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia takut membuat
dosa. Malu dengan Tuhan. Dia akan menjadi orang yang jujur dan ikhlas.
Suka membuat baik. Dia akan menjadi orang yang beradab dan bersopan,
berdisiplin, menunai janji. Apabila membuat dosa terseksa jiwanya.
Sentiasa muraqabah, jiwanya sentiasa hidup dan berhubung dengan Allah
Taala.
Maka mereka itu di dalam keadaan macam mana pun, mereka tetap tidak
lalai. Apatah lagi mereka tidak akan hanyut di dalam arus kemaksiatan
dan kemungkaran masyarakat. Mereka tetap dapat mengawal dan menjaga
diri. Dengan kata yang lain, rasa bertuhan itulah menjadi benteng pada
seseorang itu daripada melakukan dosa dan derhaka. Sekaligus ia
merupakan anak kunci segala kebaikan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa
tajamkan atau hidupkan rasa bertuhan di dalam hati kerana rasa bertuhan
itulah kita akan menjadi orang baik di dunia ini.
Sebagai peringatan, bahawa sembahyang dan ibadah yang banyak
dilakukan oleh seseorang itu kalau tidak dapat dihayati maka rasa
kehambaan pada seseorang itu tidak akan lahir. Rasa bertuhan tidak akan
timbul.
Maka ibadah yang semacam ini bukan sahaja tidak dapat melahirkan
orang yang merendah diri dan berkasih sayang tetapi akan lahir daripada
sembahyang dan ibadahnya yang banyak itu sifat-sifat sombong dan riyak,
sum’ah dan ingin dipuji, rasa diri bersih dan tidak takut dengan Tuhan.
Oleh itu sembahyang dan ibadah yang sepatutnya menghubungkan diri
seseorang hamba dengan Khaliqnya atau Tuhan, sebaliknya telah menjadi
hijab seseorang hamba itu dengan Tuhannya.
Dosa seperti inilah biasanya seseorang itu mati tidak berampun kerana
dia tidak tahu atau tidak merasa membuat dosa. Akhirnya manusia itu
mati di dalam suasana su’ul khatimah kerana dia rasa dia membuat baik
bukan membuat dosa dan derhaka. Rupanya dia membuat dosa di atas saluran
yang baik. Membuat dosa dan derhaka di dalam berbuat taat. Lahirnya
nampak taat tapi batinnya derhaka. Mereka bersembahyang dan beribadah
bukan untuk memusnahkan mazmumah tapi dengan ibadah itulah dia
menyuburkan mazmumah.
Wahai Tuhan! Berilah kami pimpinan! Engkau perlihatkanlah diri kami
lahir dan batin! Engkau perlihatkanlah perkara-perkara yang seni-seni di
dalam kebaikan dan kejahatan agar kami selamat daripada dosa-dosa yang
susah hendak difahami. Amin, ya Rabbal alamin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar