PENGALAMAN MEREKA YANG MENDAPAT ILMU RASA
Rahsia kejayaan Rasulullah SAW,
Khulafa-ur-Rasyidin dan salafussoleh dapat memerintah dan menawan tiga
suku dunia dengan jayanya adalah kerana mereka cintakan Allah lebih
daripada cintakan dunia. Juga kerana mereka memberi tumpuan yang serius
kepada Akhirat dengan membersihkan hati mereka. Mereka mampu menundukkan
nafsu, lalu dunia jatuh terjelapak ke tangan mereka. Kalaulah mereka
tidak mengutamakan sifat-sifat terpuji (mahmudah) lebih daripada
sifat-sifat terkeji (mazmumah) tentulah mereka senasib dengan kita.
Yakni bukan saja tidak dapat menegakkan empayar, hendak memerintah satu
negara pun tidak akan berjaya. Memerintah satu negeri pun akan gagal.
Bahkan memerintah satu kampung pun akan timbul pecah belah. Bahkan gagal
untuk menawan walau satu hati pun.
Kalau masalah dalam diri tidak dapat diatasi, tidak selesai-selesai,
apa logiknya untuk tawan hati orang lain? Lebih-lebih lagi apa logiknya
untuk tawan hati manusia dalam satu empayar? Bukankah fitrah hati itu
akan jatuh hati hanya dengan orang yang mempunyai akhlak terpuji? Sekali
lagi diulang, berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat serta
salafussoleh mengislamkan dunia adalah kerana mereka serius membersihkan
hati mereka yang asalnya dari alam jahiliah kecuali Rasulullah SAW yang
sememangnya bersih dan tidak berdosa (maksum). Memang sebahagian mereka
pernah melakukan bermacam-macam dosa tetapi kerana seriusnya mereka
dalam membersihkan hati daripada sifat terkeji melalui mujahadatunnafsi,
riadatunnafsi, dengan disiplin serta barakah pimpinan Rasulullah SAW,
maka mereka diberi Allah sifat-sifat hati yang bersih seperti yang
disebutkan dalam tajuk-tajuk yang lepas.
Contohnya rasa kasih sayang, berkorban apa sahaja, cintakan
kebenaran, cintakan Allah, takut, harap, tawakal pada Allah, rasa gerun
dan hebat pada Allah, merasa diri hamba, merendah diri dan malu dengan
Allah, pemaaf, suka meminta maaf, takut dan gerun dengan Neraka-Nya,
cinta dan mabuk dengan Syurga-Nya dan lain-lain sifat mahmudah lagi.
Bahkan hidup mati mereka diserahkan kepada Allah. Hati mereka sedikit
pun tidak terpaut dengan dunia. Sedangkan di waktu yang sama, mereka
mengurus dan mentadbir serta memerintah tiga perempat dunia.
Hakikat yang berlaku ialah bila mereka cintakan Allah dan cintakan
Akhirat, di waktu itulah mereka mengorbankan hidup dan mati mereka untuk
Allah. Seperti orang bercinta, dia sanggup beri apa saja demi
menunaikan hajat cintanya. Begitulah hati mereka dengan Allah.
Hati, jantung, kaki, tangan serta seluruh anggota mereka gementar
bila disebut nama Allah dan bila mendengar ayat-ayat-Nya. Mereka sangat
cinta, rindu dan kasih kepada Rasul-Nya. Sesama mereka sangat berkasih
sayang, bertolong bantu, bertolak ansur, berkorban apa saja, pentingkan
orang lain, tenang dan damai serta hidup aman makmur. Dengan kehidupan
yang beginilah mereka dapat tegakkan masyarakat yang baik selama 300
tahun. Itulah yang dikatakan masyarakat salafussoleh sepertimana yang
Allah kehendaki.
Firman-Nya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Saba’: 15)
Bilamana umat Islam sudah tidak mengikut kaedah ini lagi, yakni
selepas umat Islam tidak mengamalkan Islam melalui proses pembersihan
hati daripada sifat mazmumah, empayar Islam telah jatuh ke tangan
musuh-musuhnya. Bila musuh datang, bukan musuh yang diperangi, tetapi
sebaliknya yang berlaku. Kawan dianggap musuh maka mereka bermusuh
sesama sendiri. Hati penuh dengan cinta dunia, hasad dengki, sombong,
bakhil, penakut, pemalas, pemarah, gila pangkat, gila nama dan
bermacam-macam gila lagi. Di waktu itu, dunia yang sudah ada di tangan,
terlepas semula.
Tanpa proses pembersihan hati, negara dan masyarakat akan dikuasai
oleh orang jahat kerana rakyatnya telah jahat. Rakyat akan hidup susah
dan menderita. Sedangkan orang yang punya kuasa, hidup senang-lenang dan
mewah serta berlumba-lumba membina empayar masing-masing. Hal ini kita
boleh lihat dalam realiti hidup kita. Di mana negara yang umat Islamnya
ramai, ekonomi negara dan masyarakat dikuasai oleh orang yang bukan
Islam. Hidup masyarakat berkasta-kasta di mana yang kaya terlalu kaya
dan yang miskin terlalu miskin. Hidup nafsi-nafsi, pecah amanah dan
rasuah. Penipuan, pergaduhan, pencurian, demonstrasi, pembunuhan sering
berlaku dan dunia seluruhnya tidak aman lagi.
Sebab itu Islam meminta agar umatnya membersihkan hati daripada sifat
mazmumah dan menanam sifat-sifat mahmudah. Kerana dengan kaedah ini
saja hati-hati manusia akan dapat ditawan. Dunia akan selamat dan aman
makmur. Hati cinta dengan Allah tapi dunia dalam tangan. Hati rindu
dengan Allah tapi dunia dapat ditadbir dan diuruskan. Kaki berpijak di
bumi, mengurus ekonomi, pertanian, perubatan, khidmat masyarakat,
berdakwah dan mengajar, berhubung dan mesra dengan manusia tetapi hati
dengan Allah.
Kesan dari mujahadah yang sungguh-sungguh untuk membersihkan hati,
maka lahirlah buah dalam kehidupan masyarakat. Apabila salafussoleh ini
memerintah dan mentadbir dunia, oleh kerana terlalu takutnya dengan
Allah yakni takut ditanya tentang pentadbiran dan rakyatnya, dia tidak
sempat memikirkan keperluan dirinya sendiri. Tidurnya hanya satu pertiga
malam. Sembahyangnya terlalu banyak. Kalau mereka berniaga, di waktu
tidak ada pelanggan, mereka akan terus bersembahyang, membaca Quran atau
berzikir. Ada di antaranya tidak sempat mandi junub kerana mendengar
panggilan jihad (gendang perang) lantas menyahut seruannya. Mereka
menangis kalau tidak dapat ikut serta dalam perang. Mereka menangis dan
pengsan bila mendengar ayat-ayat Allah. Sanggup berpisah dengan suami
atau isteri sampai berpuluh-puluh tahun kerana berdakwah atau berjihad.
Sanggup hidup ala kadar kerana Islam. Sanggup hidup mati untuk Allah dan
Rasul-Nya.
Malangnya melalui sistem pengajian Islam yang sudah disekularkan,
ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini sudah ditolak atau sudah tidak
diambil berat lagi. Bahkan dianggap mengarut dan sesat serta
menyesatkan. Kalau diajar pun ajaran tasawuf, hanya di mulut atau
seronok menyebut istilah-istilahnya sahaja. Tetapi intipati ajaran
tasawuf tidak bertapak di hati. Sebab itu orang yang belajar tasawuf,
ilmunya itu tidak dapat mengubah sikap dan peribadi mereka.
Oleh itu mari kita fikirkan secara serius tentang ilmu tasawuf atau
ilmu rohani atau ilmu rasa (zauq) ini supaya jiwa kita yang sudah buta
dan mati ini dapat dicelikkan kembali serta hidup dan berfungsi. Agar ia
dapat menjadi power kepada kebangkitan Islam di akhir zaman. Kalau dulu
dunia dapat ditawan, maka kali ini sejarah itu akan berulang sekali
lagi di tangan-tangan kita.
Pengalaman atau kesan daripada mereka yang mendapat ilmu rasa (zauq):
1. Sembahyang sunatnya banyak
Rasulullah SAW adalah manusia biasa tetapi kemampuan baginda untuk
sembahyang banyak dan berlama-lama adalah perkara luar biasa. Ianya
tidak termampu dilakukan oleh manusia biasa. Sembahyangnya sampai
beratus-ratus rakaat sehari semalam. Dalam pada itu, baginda tetap
mentadbir dunia, tetap berhubung dangan Sahabat-Sahabat dan masyarakat.
Bagaimana hal ini boleh berlaku serentak? Ini tentulah tidak terbuat
oleh manusia biasa. Tentu ada yang akan berkata, “Yalah dia tu nabi,
tentulah boleh buat begitu!”
Baginda berbuat itu bukanlah kerana baginda itu nabi. Baginda berbuat
kerana merasa dirinya adalah hamba Allah. Walaupun Allah sudah jamin
Syurga tetapi baginda tetap berbuat bukan kerana hendakkan Syurga.
Sebaliknya kerana dia adalah hamba. Jadi baginda tetap berbuat walau
tidak diminta atau diarahkan.
Buktinya Sayidatina Aisyah r.a. isteri kesayangan pernah menegur
baginda: “Kenapa engkau sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, ya
Rasulullah! Sedangkan Allah mengampuni dosa-dosamu yang lalu dan yang
kemudian.”
Baginda menjawab: “Tidakkah layak aku menjadi seorang hamba yang mengenang budi (yang bersyukur).”
Baginda dapat berlama-lama sembahyang sunat dan banyak pula sampai
bengkak-bengkak kakinya dan pernah terjatuh. Rehatnya ialah dalam
sembahyang. Di waktu itulah dia terasa benar-benar dapat bercakap dengan
Allah, terasa amat dekat dengan-Nya, dapat bermanja, merintih, rindu
yang amat sangat, merasa terlalu lazat dapat berdialog, mengadu,
menyerahkan diri, menceritakan segala hal dan terasa Allah menjawab
cakapcakapnya itu. Terasa satu kepuasan dan nikmat hingga tenggelam
dalam kerinduan cintanya. Itu sebabnya baginda terlalu lama sembahyang
sehingga tanpa disedari kaki baginda jadi bengkak dan badan terkulai,
langsung jatuh.
Ertinya, kerana dia terlalu asyik sampai terlupa yang fizikalnya sudah
tidak mampu lagi menanggungnya walaupun rohnya kuat. Jadi kalau
bukanlah kerana terlalu lazat dalam sembahyang sudah tentu Rasulullah
SAW juga tidak mampu berlama-lama dalam sembahyang baginda. Dalam pada
itu baginda juga tetap sempat memikirkan pentadbiran dunia dan
rakyatnya. Dunia yang ada di tangan, semuanya digunakan untuk agama
Allah.
Salah seorang Sahabat Rasulullah SAW, Huzaifah r.a. pernah
meriwayatkan tentang lamanya sembahyang baginda. Abu Abdullah
(Huzaifah) bin Al Yaman r.a. berkata, “Saya bersembahyang di belakang
Rasululah SAW pada suatu malam. Dan setelah membaca Al Fatehah baginda
membaca surah Al Baqarah. Mulanya saya menduga akan rukuk pada ayat
keseratus, mendadak terus dibacanya. Dalam perasaanku mungkin akan
dibacanya satu surah dalam satu rakaat, mendadak setelah selesai terus
memulai membaca surah An Nisaa’ sehingga selesai dan mulai surah Ali
Imran. Maka dibacanya dengan tartil, tiap ada ayat tasbih, baginda
membaca tasbih, dan bila ada ayat ta’awwiz, dia berlindung kepada Allah
daripada bahaya. Kemudian dari itu semua baru rukuk sambil membaca
‘Subhana rabbiyal ‘azimi wabihamdih’. Dan rukuknya hampir sepanjang
berdirinya. Kemudian bangun membaca ‘Sami’ Allahu liman hamidah, Rabbana
lakalhamdu’. Dan lama berdiri sama dengan rukuknya. Kemudian bersujud
sama dengan berdirinya.” (Riwayat Muslim)
Begitu juga dengan Sahabat-Sahabat yang lain. Sembahyang mereka juga
banyak, ratusan rakaat dan lama. Paling sedikit di kalangan mereka ialah
seratus rakaat.
2. Hati Terbakar
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. yang terlahir dari rasa hatinya
yang pecah-pecah dengan Allah, rindu dan dendamnya akhirnya hatinya
terbakar hangus dan bau hangitnya terkeluar. Baunya tercium oleh para
Sahabat yang lain.
3. Hati dan Jantung yang Gementar
Hati-hati salafussoleh ini semuanya gementar kerana takutkan Allah
sepertimana disebut di dalam Al Quran. Contohnya berlaku pada Sayidina
Umar Al Khattab r.a. kerana hatinya terlalu takut dan gerun dengan Allah
serta rasa kehebatannya, setiap masa getaran hati dan jantungnya dapat
didengar daripada jarak tiga saf sembahyang.
Sayidina Umar juga terkenal dalam sejarah sebagai seorang yang suka
menghisab dirinya sendiri kerana mengenangkan dosanya. Dia menangis
teresak-esak dan kadang-kadang ketawa kerana mengenangkan kebodohannya
sewaktu di alam jahiliah. Di malam-malam hari, dia selalu memukul-mukul
badannya sambil berkata: “Inilah Umar yang banyak dosa. Biarlah Umar
rasa sakit di dunia asalkan jangan diseksa di Neraka.”
Sedih dan menyayat hati bila mengenangkan kisah-kisah bagaimana
Sahabat-Sahabat membersihkan diri mereka dari dosa-dosa. Sedangkan
mereka sudah dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW.
4. Dapat Menahan Sakit
Semasa berperang dengan orang kafir musyrik, Sayidina Ali r.a. terkena
panah di belakangnya. Ada sesetengah riwayat menyatakan di betisnya.
Sahabat-Sahabat telah mencabut anak panah tersebut sewaktu Sayidina Ali
sedang sembahyang kerana Sahabat-Sahabat sedar di waktu itu saja tidak
menyakiti Sayidina Ali disebabkan dia tenggelam dalam lazatnya
sembahyang.
Kelazatan itu telah dapat mengalahkan kesakitan apabila panah itu
dicabut. Ertinya, kalaulah bukan kerana hatinya terasa kehebatan dan
kebesaran Allah, terasa terlalu hina dan rasa lazat yang amat sangat
sewaktu bermunajat dengan Tuhannya, tentu mustahil dia tidak sedar panah
itu dicabut. Bukankah pelik. Ertinya segala kesakitan-kesakitan di
dunia akan hilang atau tidak terasa kalau kita tenggelam dalam cinta
Allah.
Ibarat orang yang sedang bercinta. Apabila bertemu dengan cintanya,
masa yang lama dirasakan sekejap sahaja. Dua jam dirasakan dua puluh
minit sahaja kerana terlalu asyik.
Banyak lagi cerita Sahabat-Sahabat lain yang turut sama dipanah,
ditikam dan ditetak tetapi tetap teruskan berperang sehingga terbunuh
(syahid). Sahabat yang bernama Anas bin An Nadhri ketika selesai perang
didapati lebih 80 kesan tikaman pedang, tombak, panah dan
dicincang-cincang oleh kaum musyrikin. Begitu juga Sahabat-Sahabat yang
lain. Dorongan cinta Allah inilah yang membolehkan mereka berbuat
begitu. Ada di kalangan mereka sewaktu sedang berperang itu, mereka
ternampak bayangan Syurga dan bidadari-bidadarinya. Sampai terlupa
kesakitan yang mereka hadapi dan sangat rindu dengan Tuhannya. Sebab itu
mereka sanggup syahid waktu itu juga untuk menemui cintanya.
5. Menangis kerana Takutkan Allah SWT
Allah SWT telah menceritakan perihal salafussoleh ini. FirmanNya: “Dan sujudlah mereka sambil menangis dan bertambah khusyuk.” (Israk:109)
Dalam sebuah Hadis disebutkan: Anas r.a
berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW berkhutbah, belum pernah
dia mendengar khutbah seperti itu. Lalu baginda bersabda dalam
khutbahnya itu: “Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang kuketahui,
nescaya sedikit tertawa dan banyak menangis.” Anas berkata: “Seketika
itu para Sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis
teresak-esak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis yang lain pula mengatakan: Abdullah Syeikhir r.a. berkata:
“Saya datang kepada Nabi SAW sedang baginda sembahyang, maka terdengar
nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejananya.” (Riwayat
Abu Daud dan At Tarmizi)
6. Membaca Al Quran
Ada di kalangan Sahabat-Sahabat dan salafussoleh, bila membaca Al
Quran sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang, bila sampai
tentang ayat azab atau ayat tentang kebesaran Allah, ada yang jatuh
pengsan dan terus mati. Sensitifnya dengan ayat-ayat Allah bagaikan
terkena gencatan elektrik, terus mati.
Kalaulah bukan kerana kehebatan rasa dalam hati tidak begitu menekan
sangat maka tidak mungkin dia jatuh pengsan. Ada sesetengah salafussoleh
bila mendengar tentang ayat azab Neraka, ada yang tidak lalu makan
berhari-hari. Kalaulah bukan kerana rasa hati yang begitu hebat tentang
azab di Akhirat tentulah tidak sampai terjadi demikian. Sebab itulah
sebahagian salafussoleh membaca Al Quran, oleh kerana terlalu lazat dan
asyik, mereka boleh menghabiskan tiga puluh juz dalam waktu satu malam
sahaja. Begitu juga wirid, zikir dan sedekah, terlalu banyak.
7. Kahwin
Sesetengah mereka ini kerana rasa hati terlalu takut dengan Allah
hingga tidak ada mood untuk mengadakan perhubungan dengan isteri lagi.
Hingga Rasulullah terpaksa menegur perbuatan mereka ini. Begitu juga
telah diakui sendiri oleh isteri Sayidina Umar Abdul Aziz selepas diberi
tanggungjawab berat memikul urusan negara (khalifah), dua tahun mereka
tidak mandi junub.
Ertinya begitulah takutnya Sayidina Umar Abdul Aziz kepada Allah,
takut akan ditanya tentang urusan dunia dan pentadbirannya dan takut
ianya akan diazab. Dan matinya pun setelah mendengar cerita mimpi
khadamnya yang menceritakan bagaimana para pemerintah Bani Umaiyah
sebelumnya semuanya terjun ke Neraka. Belum sempat khadamnya
menceritakan tentang nasibnya, dia sudah jatuh pengsan dan terus mati.
8. Syattah (melatah) dan Sakar (mabuk)
Ada di kalangan Sahabat-Sahabat yang membuat pengakuan, kalau aku
ceritakan apa yang terasa di hatiku ini, akan ada orang yang akan
menyesatkanku dan akan membunuhku. Setengahsetengah ahli sufi zaman
dahulu kerana mabuk cintanya sangat mendalam kepada Allah hingga
berlakunya syattah atau melatah. Iaitu mengeluarkan kata-kata di mulut
yang tidak dapat dikawal (control). Sewaktu-waktunya atau kadangkala
tidak dapat difahami oleh orang yang mendengarnya. Kalau dilihat secara
lahir, ia tidak dapat ditakwil dengan mudah agar sesuai pengertiannya
mengikut kedudukan syariat. Kesannya, ada yang menuduhnya kafir atau
syirik. Ini yang berlaku kepada Ibnu Arabi dan Al Hallaj, hingga mereka
dibunuh orang.
Sebenarnya apa yang terjadi ialah bahasa hatinya tidak dapat
diterjemah oleh bahasa lidah. Maka terkeluarlah bahasa lidah yang tidak
mampu menterjemahkan bahasa hatinya. Maka bagi orang yang tidak memahami
soal-soal rasa ini dan juga tidak dapat mentakwilnya maka jadi fitnah
padanya, langsung disesatkan orang yang hampir dengan Allah itu.
Juga pernah berlaku pada orang-orang sufi yang mabuk cintanya dengan
Allah yang tidak dapat dikawal hingga ada yang sakar (mabuk). Iaitu
seolah-olah macam orang gila seperti berlaku pada Uwais Al Qarni dan
lain-lain lagi. Boleh juga terjadi pada satu keadaan lain, mereka ini
bila cuba melahirkan bahasa cinta mereka kepada Allah, akan terkeluarlah
bahasa-bahasa yang indah-indah dan sastera yang mendalam melalui syair
dan sajak-sajak yang memuja dan memuji Allah atau Rasul. Contohnya
berlaku pada Rabiatul Adawiyah dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya, kesan daripada ilmu rasa (zauq) inilah dapat
melahirkan sifat-sifat mukmin yang sejati. Rasa hati telah membentuk
sikap manusia yang lahir di tengah-tengah kehidupan salafussoleh. Yakni
orang mukmin itu pada lahirnya saja bersama-sama manusia tetapi hatinya
bersama Allah. Badan lahirnya sibuk mentadbir dunia tetapi hatinya sibuk
dengan Allah. Jasadnya sibuk berhubung dengan manusia tetapi hatinya
remuk dan pecah-pecah dengan Allah.
Mereka ini nampak senyum wajah lahirnya tetapi hatinya berduka dengan
Allah, cemas, harap, bergantung dan bertawakal dengan Allah. Kaki
mereka berpijak di bumi tetapi hati dan perasaannya mengembara ke alam
yang lebih tinggi. Kakinya di dunia tetapi perasaan di Akhirat. Jasad
lahirnya bersama dunia tetapi hati tidak terpikat dengan dunia kerana
hatinya bersama Allah. Badan lahirnya mengembara di bumi Tuhan tetapi
rohnya mengembara di alam rohani. Mulutnya bercakap dengan manusia
tetapi hatinya tidak lepas berhubung dengan Allah. Matanya memandang
dunia tetapi hatinya gerun dengan Neraka-Nya. Telinganya mendengar
percakapan manusia tetapi hatinya mendengar apa kata Allah.
Ini menjadikan mereka walaupun berpijak di bumi, mengu-ruskan
pentadbiran dunia tetapi hati mereka gementar takut kepada Allah yang
mengawasi, melihat dan mendengar apa yang dilakukan. Akhirnya terkeluar
daripada mulutnya, dia bercakap-cakap seorang diri seolah-olah
berbisik-bisik dengan Allah, Tuhannya itu. Kadang-kadang payah untuk
diceritakan dengan bahasa lidah.
Gambaran ini hanya sedikit yang dapat dicoretkan daripada
pengalaman-pengalaman mereka yang begitu banyak dalam sejarah. Bahasa
tulisan lagilah tidak mampu untuk menterjemahkan bahasa lidah dan bahasa
hati yang unik itu. Ini semua tentulah dianggap mengarut oleh
orang-orang yang menolak ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini. Apatah
lagi bagi mereka yang mengambil ilmu Islam daripada lidah orang-orang
kafir (musuh Islam). Tentulah orang kafir (musuh) tidak akan ajar
ilmu-ilmu ini kerana mereka tidak faham terutamanya mereka yang
mengambil ilmu Islam di London, di Scotland, Temple University di
Amerika Syarikat, Universiti Kent di Britain, di Jerman, di Perancis dan
lain-lain tempat lagi. Ini semuanya pada mereka mengarut, sesat lagi
menyesatkan.
Kenapa terjadi begitu? Apa logiknya mereka tuduh sesat? ini kerana
mereka mengukur orang lain dengan ukuran diri mereka. Hal-hal rasa ini
sudah tidak dicampakkan ke dalam hati mereka kerana hati sudah dipenuhi
dengan cinta dunia. Lihatlah kehidupan mereka dan perbualan mereka. Yang
jadi perbualan harian ialah hal-hal gaji, elaun, mileage, kenaikan
pangkat, halhal yang menambahkan harta dan membesarkan rumah dan
lain-lain lagi. Masakan Allah beri ilmu rasa ini!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar