PENDORONG KE ARAH USAHA MEMBAIKI DIRI
Usaha-usaha membaiki diri ini memang susah kerana tiga faktor iaitu:
1. Memerlukan mujahadatun nafsi yang serius.
2. Latihan mengawal nafsu ini satu kerja yang sangat menjemukan dan meletihkan. Risikonya, payah hendak istiqamah.
3. Banyak halangan dan rintangan yang menyekat iaitu dunia dan
tarikannya serta keluarga dan sahabat-handai yang melalaikan kita.
Kalau begitu halnya, apa yang patut kita buat untuk mengatasi keadaan
ini? Apa pula pendorong untuk kita terus berjuang membaiki diri?
Jawapannya ialah ilmu rohaniah inilah pendorongnya. Yang patut kita buat
ialah:
1. Suluh kelemahan diri kita.
2. Bangkitkan kesedaran jiwa.
Kedua-dua ini hendaklah dibuat melalui tafakur. Antara perkara-perkara yang boleh kita tafakurkan ialah:
A. Lemahnya diri kita
Mari kita sama-sama tafakur, merenung sekejap ke dalam diri kita.
Rasakan di hati kita bahawa kita ini hamba Allah yang maha dhaif, lemah
dan hina.
Buktinya:
1. Bolehkah kita elak diri kita dari sakit? Kalau terkena atau
tercucuk duri yang halus dapatkah kita menahan bisanya? Itupun sudah
terlalu sakit, sudah tidak tertahan lagi rasanya. Itulah tanda lemahnya
kita. Bolehkah kita melihat kalau jarum tercucuk di mata kita? Bolehkah
kita bernafas kalau air tersumbat di hidung kita? Tentu tidak boleh.
Itulah tanda lemahnya kita ini. Apatah lagi kalau Allah tarik satu
sahaja urat saraf kita, meranalah kita seumur hidup.
2. Bolehkah kita elak dari orang caci maki dan kata kita?
3. Bolehkah kita menolak dari bencana alam yang melanda mengejut pada
kita? Tentu tidak boleh walaupun berkumpul seluruh tenaga makhluk yang
berada di langit dan di bumi. Bencana alam tetap terjadi juga. Kita
tidak mampu menahannya. Banjir yang melanda, datangnya tidak mampu
diempang. Angin taufan, ribut yang mengangkat dan menghumban, tidak
mampu kita membendungnya. Gempa bumi yang dahsyat yang membunuh segala
hidupan, tidak kuasa manusia menahannya. Lemahnya manusia ini.
4. Dapatkah kita menahan kematian orang yang kita cintai? Akhirnya
kita juga akan mati. Dapatkah kita menolaknya? Tentu tidak mampu. Betapa
lemah dan hinanya kita. Sudah mati jadi bangkai. Tidak seorang pun yang
mahukan jasad kita itu. Isteri tidak mahu. Suami tidak mahu. Anak-anak
pun tidak mahu. Ibu ayah tidak mahu. Kekasih pun tidak mahu. Sebab
itulah orang hantar cepat-cepat ke kubur kerana kalau dibiarkan, busuk!
Bila dinilai bukti-bukti tadi menggambarkan betapa hinanya kita. Cuba
kita rasakan kehinaan dan kelemahan itu setiap ketika dan kita bawa
perasaan itu di mana-mana.
B. Nikmat yang kita dapat
Hitung-hitungkan pula nikmat-nikmat yang ada pada kita. Mata, hidung,
mulut, telinga, kaki, tangan, akal dan lain-lain lagi yang sangat
penting untuk kehidupan kita itu.
Fikirkanlah tentang akal yang dikurniakan pada kita. Alangkah
berharganya. Dengan akal itulah kita jadi cerdik, pandai dan bijaksana.
Dengan akal itu juga kita membelah bumi, menerobos angkasa, menguasai
lautan dan daratan. Kita bebas buat apa saja semahu-mahunya. Hatta jadi
kaya-raya dan berkuasa. Menungkanlah, apakah layak akal yang begitu
mahal kita gunakan hanya semata-mata untuk meruntuhkan tamadun manusia
dengan berperang dan membunuh? Rasakan di hati takut pada Tuhan kerana
sebelumnya kita tidak gunakan akal itu untuk memikirkan kebesaran-Nya
dan nikmat-nikmat pemberian-Nya yang ada pada kita.
C. Nikmat di luar diri kita
Fikirkan dan hitungkan pula nikmat-nikmat Allah yang berada di luar
diri kita. Hitung berapa banyak harta, duit, rumah, kereta, perabot,
pinggan mangkuk, periuk belanga, kain baju, kasut, barang kemas, makanan
yang kita simpan, berapa jenis lauk yang dimakan untuk satu hari,
berapa banyak kenderaan kita, kebun, anak-anak, isteri-isteri,
kawan-kawan, pengikut-pengikut, pembantu-pembantu, udara yang dihirup,
bumi yang dipijak, cahaya matahari yang kita dapat manfaat darinya.
Rasakan di hati bahawa alangkah banyaknya kurniaan Allah pada kita
selama ini.
Kemudian pandang ke langit. Lihatlah besarnya ciptaan Tu-han itu.
Tergantung tanpa tiang. Walhal rumah kita yang kecil pun ada tiangnya.
Bumi yang terhampar tempat kita berpijak, sangat berguna pada kita.
Saksikanlah matahari yang turun naik, yang cahayanya sangat memberi
manfaat, yang menjadikan silih bergantinya siang dan malam, memberi
peluang untuk kita bekerja dan rehat. Menjadikan waktu yang bermusim
juga sangat berfaedah pada manusia. Air yang disedut naik, hujan yang
turun, ini memberi bekalan air untuk seluruh hidupan. Memeriahkan alam
dengan cahaya. Tenaga solar serta tenaga elektriknya. Rasakan ke dalam
hati kita betapa pentingnya ini semua. Rasakan betapa perlunya
nikmat-nikmat ini dalam kehidupan kita.
Fikirkanlah! Bolehkah manusia mencipta tanah, api dan air itu?
Dapatkah kita tumbuhkan pokok? Yang kayunya kita gunakan untuk membuat
rumah itu? Dapatkah kita buat segala keperluan-keperluan asas yang jadi
peralatan hidup kita itu? Bolehkah hidup tanpa kita gunakan
barang-barang ciptaan Allah itu? Tentu tidak. Oleh itu datangkan rasa
insaf pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengadakan itu semua.
Bila kita sedar begitu barulah kita terasa perlunya Allah itu pada
kita. Barulah kita terasa patut kita menyembah-Nya. Barulah terasa patut
kita taat perintah-Nya. Kalau begitu bukankah patut kita patuh
kepada-Nya. Bukankah patut kita jadikan Allah itu Tuhan kita. Tidaklah
kita hendak bertuhankan diri kita lagi. Inilah pendorong untuk kita
beribadah.
Bila kita bawa berfikir tadi barulah kita terasa Tuhan itu terlalu
berjasa dan pemberi. Barulah terasa patutnya kita bersyukur pada Allah
kerana segala-galanya adalah ciptaan-Nya dan pemberian-Nya. Bukan kita
buat sendiri. Inilah pendorong.
D. Kehidupan selepas mati
Lihatlah kepada kehebatan dunia ini. Semua yang kita miliki itu nanti
akan terlucut dari kita kerana dunia ini negara yang fana. Allah
jadikan kita bukan untuk tinggal terus di sini buat selama-lamanya.
Tetapi akan mati dan pulang ke negara asal, negara Akhirat yang kekal
lagi abadi. Yakni Syurganya kekal, Nerakanya juga kekal. Nikmatnya
kekal, azab siksanya pun kekal.
Cuba kita rasakan nikmat Syurga yang kekal itu. Tiada bandingan dan
tandingannya. MasyaAllah terlalu hebat! Patah lidah untuk mengungkapnya.
Tiada bahasa yang dapat menggambarkannya. Tiada mampu mata pena untuk
menulisnya. Mahligainya saja sudah seluas langit dan bumi, dibuat
daripada emas, permata, dinding yang berkilau-kilau cahayanya, atapnya
intan berlian yang tidak terkata indahnya dan nikmat berada di dalamnya.
Seorang yang bertaqwa saja memiliki berpuluh-puluh buah bandar. Kalau
rumahnya saja seluas langit dan bumi, agaknya berapa pula luas sebuah
bandar? Apatah lagi kalau berpuluh-puluh buah bandar. Tentulah tidak
dapat hendak dibayangkan betapa luasnya bandar-bandar kepunyaan
seseorang itu. Tidak dapat pena menulisnya. Tidak ada kiraan di dunia
ini. Peralatan mewah dalam mahligai itu pula tidak pernah rosakrosak.
Bahkan makin dipandang, makin cantik. Semakin terasa nikmat. Sekali
pandang lain cantiknya. Dua kali pandang, lain pula cantiknya. Tidak
pernah jemu-jemu menikmatinya.
Kenderaan di Akhirat pula ialah apa saja yang kita inginkan. Teringat
saja, sekelip mata datang. Teringat hendak naik kapal terbang, niat
saja terus berada dalam kapal terbang yang diidamidamkan. Terbanglah
selaju mana yang kita mahu dan ke mana saja yang kita ingin tuju, tidak
pernah rasa bimbang dan cemas. Kalau naik kapal terbang dunia, hati
selalu diragut takut tetapi di Akhirat, kalau ingin jatuh, ia jatuh tapi
tidak sakit. Sebaliknya tetap lazat.
Rasakan pula nikmat di Akhirat itu tidak pernah lapar-lapar. Atau
tidak pernah haus-haus. Sentiasa kenyang. Makanan yang kita makan tidak
pernah menjemukan. Sebab rasanya berlainan. Suapan pertama dengan yang
kedua, berlainan rasanya. Begitulah seterusnya. Untuk satu jenis buah,
kita akan dapat berpuluhpuluh jenis rasa. Jadi tidak pernah jemu
memakannya. Makin dimakan makin hendak dan semakin lazat. Demikian juga
dengan jenis-jenis makanan yang lain. Makanlah sebanyak mana pun tidak
akan memudaratkan. Tidak menyakitkan perut. Tidak juga susah payah untuk
ke jamban. Tidak payah buang najis yang busuk itu. Tidak ada istilah
tahi lagi seperti tahi mata, tahi telinga dan tahi gigi. Semuanya
sedap-sedap, baik-baik, lazat dan indah-indah sahaja. Hatta peluh kita
pun berbau wangi.
Rasakan pula setiap orang bertaqwa itu hadiahnya ialah
bidadari-bidadari yang cantik jelita. Bukan seorang tetapi
berpuluh-puluh dan beratus-ratus orang, yang nikmat dan ke-puasannya
tiada tolok bandingannya dengan dunia ini. Seperti firman Allah dalam Al
Quran: “Mereka bertelekan di atas dipandipan berderetan dan Kami
kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli. Dan
Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala
jenis yang mereka inginkan. Di dalam Syurga mereka saling memperebutkan
piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak
berfaedah dan tidak pula perbuatan dosa. Dan sekeliling di sekitar
mereka anak-anak muda untuk melayani mereka, seakan mereka itu mutiara
yang tersimpan.” (At Thur: 20 – 24)
Kemudian kita rasakan ke lubuk hati kita betapa azabnya Neraka yang
kekal itu. Penderitaannya amat dahsyat dan mengerikan. Tidak dapat
hendak ditulis dengan mata pena kedahsyatannya itu. Api yang dahsyat itu
70 kali ganda panasnya dari panas api dunia. Api di dunia pun kita
tidak boleh pegang, apatah lagi api Neraka. Kita berada dalam rumah api,
dinding api, bumbung api, lantainya api, makanannya api, minumannya
api, pakaiannya api, bantalnya api dan segala-galanya dalam api. Apabila
hancur daging-daging tubuh kita maka digantikan dengan daging baru,
dibakar lagi hingga jadi bara dan diganti lagi.
Begitulah terus-menerus. Rasakan di hati, aduh, betapa sakitnya.
Dahsyat dan ngeri. Rasakan di hati takut yang amat sangat. Di penjara
Akhirat itu, seluruh kaki tangan diikat dan disatukan. Dihumban dan
tenggelam di dalam api yang ombaknya bergelombang, menggulung dan
membakar. Bila tubuh kita jadi bara dan hangus, diganti dengan kulit
yang baru, kemudian diseksa lagi. Di samping itu malaikat Zabaniah yang
tidak pernah senyum-senyum mencemeti terus setiap detik hingga jadi
hancur-lebur, bersepai-sepai.
Gambarkan betapa dahsyatnya azab yang pedih itu yang tidak akan
tertanggung oleh kita. Itu baru sedikit gambaran yang dapat digambarkan.
Tidak akan tertulis hal keadaan yang sebenarnya betapa rasa azab itu.
Yang diceritakan itupun sudah cukup untuk menggambarkan betapa ngerinya.
Kemudian datangkan rasa takut itu berterusan di hati kita. Di sana
tidak ada yang boleh membela dan membantunya. Pangkat kita, kereta
menjalar, pengikut-pengikut, pemimpin-pemimpin, ibu ayah, suami, isteri,
anak-anak dan sahabat-handai kita, seorang pun tidak menjenguk kita.
Tidak ada sebarang makhluk pun yang akan datang menolong meringankan
penderitaan yang maha dahsyat itu. Rasakanlah di hati, kita sendirian
nanti menanggung kesakitan itu, yang penderitaannya puluhan kali ganda
seperti yang disebutkan.
Kalau kesemua rasa-rasa yang kita gambarkan di atas tadi dapat
diresapkan secara serius ke dalam hati nurani kita, langsung kita bawa
hati itu ke mana-mana, itulah yang jadi motor atau power yang kuat untuk
mendorong hingga kita mudah dan ringan untuk membaiki diri. Inilah yang
dikatakan hati mukmin. Al hasil kita tidak tergamak untuk melakukan
dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Kita akan rasa malu.
Hati mukmin ini walaupun fizikalnya bersama dengan makhluk tetapi
hatinya tetap dengan Allah. Hatinya sentiasa meneroka alam Akhirat.
Hatinya sentiasa takut dengan Allah, rindu dengan Allah dan Syurga-Nya.
Perasaan-perasaan inilah yang akan menyelamatkan kita di dunia dan di
Akhirat. Tetapi kalau kesedaran jiwa dalam hati seseorang itu tidak ada,
apakah yang akan jadi pendorong untuk mengelak daripada kemungkaran?
Apakah yang jadi pendorong untuk cinta Allah dan hari Akhirat? Tentu
tidak ada.
Kalau perasaan ini tidak wujud di hati, apa yang akan terjadi ialah:
1. Makin tinggi ilmu seseorang, makin alim dia, makin jahat lagi sifatnya.
2. Bertambah kaya seseorang itu, makin dia angkuh dan sombong.
3. Makin berkuasa seseorang itu, bertambah lagi zalim dan kejamnya.
4. Bolehkah kita percaya dia dapat berlaku adil, tidak rasuah, tidak
menipu, tidak mencuri masa dan lain-lain lagi? Apakah jaminannya? Tentu
tidak ada.
Oleh itu sematlah perasaan-perasaan di atas. Moga-moga ia dapat
membantu kita dalam membaiki diri. Inilah jalan yang menyelamatkan kita
yakni bila hati kita selalu sedar dan insaf.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar