CINTA ALLAH DAN RASUL DIBUKTIKAN DENGAN BERKORBAN
Dalam usaha ke arah taqwa, orang Mukmin digalakkan berkorban pada jalan Allah atau disebut Infak fisabilillah. Maksud Infak fisabilillah
atau berkorban pada jalan Allah mengikut pengertian syariat ialah
berbelanja apa yang ada ke jalan yang diredhai oleh Allah atau berkorban
berhabis-habisan apa yang ada, sama ada harta, wang ringgit, tenaga,
masa, fikiran hatta nyawa sekalipun semata-mata untuk Allah.
Berkorban atau berbelanja pada jalan Allah ertinya terpaksa kurangkan
harta atau susutkan harta, kurang wang ringgit, kurang masa untuk
dirinya berehat atau langsung tidak rehat, kurang dapat kasih sayang
atau langsung tidak dapat kasih sayang dan bermanja dengan
isteri-isteri, suami, anak-anak dan keluarga.
Rumah yang besar jadi kecil atau langsung tidak ada rumah. Patut
dapat kasih sayang, sudah tidak dapat lagi. Terpaksa tinggalkan
anak-anak, isteri-isteri, suami, ibu ayah, saudara-mara, sahabat-handai,
kampung halaman, harta, rumah tangga, tinggal jawatan, kedudukan,
degri, menara gading dan tinggal segalagalanya kerana diuntukkan
segala-galanya tadi buat mencari keredhaan Allah.
Untuk perbuatan dan sikapnya itu, mereka sanggup menerima apa jua
risikonya seperti sanggup menjadi miskin, dihina, difitnah, dikata,
dicaci, dimaki, dikecam,ditohmah, diseksa hatta sanggup dibunuh
sekalipun, demi semata-mata hendak menunaikan kehendak cinta agungnya,
iaitu Allah. Begitulah pengorbanan seseorang itu bilamana Allah sudah
dijadikan Cinta Agungnya. Kerana cinta itu memanglah buta walau kepada
apa dan siapa sekalipun, sama ada kepada isteri, kepada suami, kekasih,
tunang atau kepada Allah.
Pada saya, orang yang boleh berkorban atau berbelanja
berhabis-habisan untuk Allah itu ialah orang yang sangat cinta dan mabuk
dengan Allah. Yakni meletakkan Allah itu sebagai Cinta Agungnya
mengatasi segala cinta yang lain. Tidak salah rasanya kalau disebutkan
mereka ini orang yang gilakan Allah. Hingga kerana-Nya, manusia sanggup
susah dan mati. Bahkan kesusahan itu tidak dirasakan susah lagi.
Sebaliknya susah itu dirasakan satu kebahagiaan dan kegembiraan bila
dapat ditunaikan. Ianya sebagai hadiah atau pemberian untuk Cinta
Agungnya. Itulah kepuasan walaupun dia sendiri susah untuk
mendapatkannya. Biasanya seorang kekasih rela berkorban apa saja untuk
kekasihnya demi merealisasikan bukti cintanya. Biar apa pun kata nista
orang, langsung tidak dipedulikannya. Buktinya, lihatlah pada seorang
lelaki yang mencintai seorang perempuan. Kelihatannya macam orang yang
hilang pertimbangan. Kerana segala fikirannya, masa, tenaga, harta, wang
ringgit dan sebagainya, dikorbankan berhabishabisan untuk cintanya.
Hingga melupakan kepentingan diri sendiri. Kalau ada orang yang
mengatakan perbuatannya itu bodoh atau sudah gila, dia tidak ambil
pusing, macam tidak didengarnya. Dia tidak terasa sakit hati dengan
cemuhan-cemuhan, kritikan dan kata nista itu.
Padanya, bila dia dapat berkorban atau berbelanja dengan memberi
hadiah atau memberi sesuatu pemberian pada kekasihnya itu, ia satu
nikmat, bukan menyusahkannya. Bahkan terasa indah dan bahagia serta
seronok pula. Walaupun lahiriahnya kita nampak fizikalnya susah payah
bekerja untuk itu, berhempas pulas mengumpulkan duit untuk menyediakan
hadiah-hadiah itu.
Pengorbanannya makin hari makin banyak untuk membuktikan kecintaan
pada kekasihnya itu. Waktu itu walaupun susah payah berhempas pulas,
namun hatinya rasa tenang dan puas. Pengorbanan yang diberi secara
berhabis-habisan itulah bukti rangsangan cinta yang telah memuncak di
dalam hati. Bandingannya macam orang yang sedang bertunang yang hanya
tunggu diijabkabulkan. Inilah masanya dia berkorban habishabisan.
Habislah seluruh tenaga, fizikal, masa, wang ringgit dan harta dikerahkan
untuk memikirkan bagaimana hendak memuaskan hati buah hatinya itu.
Tentu dia akan lipatgandakan usaha-usaha lebih daripada biasa, bagi
menawan buah hatinya semaksima mungkin. Tentu dia bekerja keras untuk
cari duit belanja, bermati-matian untuk buat rumah dan membeli segala
kelengkapan isi rumah sebagai persediaan menunggu hari perkahwinan atau
hari pertemuan pertama itu. Pendek kata, buat kerja apa pun, semuanya
untuk memikirkan cintanya. Itu sahaja. Di waktu itu wang ringgit payah
hendak diberikan pada orang lain.
Itu baru gambaran cinta seseorang terhadap sesama makhluk yang tidak
ada apaapa jasa padanya. Sekadar terpikat pada rupa paras dan
kecantikannya. Itu pun dia sanggup berkorban bermati-matian untuk
membalas cinta kekasihnya. Demi menyenangkan hati orang yang
dicintainya. Apatah lagi seorang mukmin yang benar-benar bertaqwa kepada
Allah. Tentulah pengorbanannya lebih berganda-ganda lagi dalam semua
hal untuk Allah. Pengorbanan itulah bukti rasa cinta pada Allah itu.
Yang lain-lainnya sudah jadi kecil. Dia rela susah dan menderita bahkan
sanggup berkorban apa saja demi Allah Cinta Agungnya itu.
Di waktu itu dia sudah benar-benar tajalli dengan Allah SWT. Oleh itu
dia dapat menyempurnakan urusannya dengan Cinta Agungnya. Dengan
membawa rasa cinta di hati yang memuncak inilah seseorang itu dapat
berkorban untuk yang dicintainya. Kalau cintanya meminta apa saja
sekalipun hak miliknya, akan sanggup dikorbankan. Inilah yang telah
dibuktikan oleh Rasulullah SAW. Kerana cintanya kepada Allah, Allah pun
mengaku dialah kekasih-Nya yang digelar Habibullah. Yang mana segala
tenaga, masa, kekayaan sepenuhnya dikorbankan untuk Allah.
Begitulah juga berlaku pada para Sahabat baginda yang lain seperti
Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Usman dan ramai
lagi. Sebahagian besar masa, tenaga, harta dan hidupnya dikorbankan
untuk Allah. Kalaupun ada untuk kepentingan diri dan keluarga, ianya
terlalu sedikit. Sebab itulah Islam cepat berkembang dan cepat menguasai
dunia.
Sifat atau watak mereka ini yang paling ketara ialah keghairahannya
pada perjuangan Islam dan berkorban untuknya. Yakni menegakkan kalimah
Allah pada diri, keluarga, masyarakat dan seluruh sistem hidup. Segala
masa, tenaga, fikiran, harta dan keupayaannya dikerahkan pada kerja-kerja
menegakkan sistem hidup Islam.
Untuk itu dia sudah jual segala yang ada padanya ke jalan Allah
kerana hendak membuktikan cintanya kepada Allah. Kalau begitu bolehlah
kita katakan, orang yang berkorban pada jalan Allah kerana orang itu
telah mencintai Allah. Ertinya, pengorbanan dan cinta, dua perkara yang
tidak dapat dipisahkan. Kalau ada cinta, ada pengorbanan dan kalau ada
pengorbanan, ertinya kerana adanya cinta.
Jadi, orang mabuk cinta Allah ini dia akan berkorban. Dengan
pengorbanan itu lahirlah kemajuan dan tamadun Islam. Kerana
merealisasikan cintanya pada Allah, bermacam-macam pengorbanan yang
dapat dibuatnya. Sehingga terlahirnya tamadun itu. Gabungan dari
hati-hati yang mabuk cinta ini akan dapat membangunkan jemaah dan negara
serta empayar Islam. Inilah buahnya. Kemajuan atau tamadun itu adalah
hasil perjuangan dan pengorbanan. Perjuangan dan pengorbanan adalah buah
cinta umat Islam kepada Allah.
Contoh buah cinta lahirkan pengorbanan adalah seperti:
1. Memberi bantuan kewangan kepada pendakwah-pendakwah.
2. Membantu dengan harta untuk menegakkan agama Allah
seperti membangunkan sistem pendidikan Islam, sekolah Islam, universiti
Islam, membangunkan masjid, surau atau rumah-rumah kebajikan, rumah
wakaf, membina kampungkampung Islam, hospital secara Islam, ekonomi
Islam, rumah anak-anak yatim, fakir miskin dan janda-janda terbiar,
membina jalan raya dan jalan air atau tandas awam, memberi bantuan
kewangan kepada orang yang menegakkan ekonomi Islam seperti membangunkan
kilang atau projekprojek secara Islam, keluarkan biasiswa, bantu beli
kenderaaan untuk kemudahan jemaah Islamiah, alat perhubungan bagi
mempercepatkan pergerakan perjuangan Islam dan lain-lain lagi. Membantu
tertegaknya pertanian secara Islam, mewakafkan tanah untuk pembangunan
semua hal yang tersebut tadi, mencairkan seluruh harta kekayaan sebagai
modal untuk membantu dalam semua sudut pembangunan Islam.
Allah SWT yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang pada
hamba-hamba-Nya memang sudah sedia mencintai hamba-hamba-Nya. Cuma
cinta-Nya itu tidak berbalas. Firman Allah dalam Hadis Qudsi yang
bermaksud: “Aku kasihkan hamba-Ku lebih daripada kasih seorang ibu kepada anaknya.”
Bila seseorang itu mula berkorban, ertinya cinta Allah itu baru mula
berbalas. Lagi banyak pengorbanan yang dapat dibuat lagi bertambahlah
cinta Allah kepada-Nya.
Firman Allah SWT dalam Hadis Qudsi
melalui Rasulullah SAW: “Apabila seorang hamba mendekatkan diri
kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan
barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka aku mendekatkan
diri-Ku kepadanya sedepa. Kalau hamba-Ku datang kepada-Ku dengan
berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.” (Riwayat Bukhari
dari Anas)
Ertinya, cinta Allah bertambah dari masa ke masa padanya mengikut
pengorbanan yang dibuatnya. Alangkah kasih dan sayangnya Allah kerana
cintanya itu sudah berbalas melalui pengorbanan hamba-hamba-Nya tadi.
Sehingga Allah berjanji dengan pengorbanan itu seperti yang disebut
dalam Al Quran: “Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta mereka pada
jalan Allah laksana satu biji yang membuahkan tujuh tangkai. Setiap
tangkai mempunyai 100 biji. Allah menggandakan (ganjaran) kepada siapa
yang dikehendaki-Nya.” (Al Baqarah: 261) Maksudnya, Allah memberitahu
setiap pengorbanan yang dilakukan oleh hamba-Nya itu, Allah bayar dengan
700 kali ganda. Bahkan sampai peringkat berlipat kali ganda lagi
daripada ukuran tadi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Firman-Nya lagi: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang
mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka.
Mereka berkorban untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh.
(Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil
dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah?
Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan
itulah kemenangan yang besar.” (At Taubah: 111)
Dalam firman-Nya yang lain, Allah menyeru: “Wahai mereka-mereka yang
beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat
melepaskan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu hendaklah kamu beriman
dengan Allah dan Rasul-Nya. Dan berjuang pada jalan Allah dengan harta
dan jiwa raga kamu. Itulah yang paling baik jika kamu orang yang
mengetahui.” (As Saf: 10-11)
Dalam firman-Nya yang lain, Allah memberitahu: “Tidaklah sama antara
mukmin yang tidak berjihad yang tidak ada mempunyai keuzuran dengan
orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah
melebihkan orang yang berjihad dengan harta dan jiwa mereka atas orang
yang duduk (tidak berjihad) satu darjat. Kepada masing-masing Allah
menjanjikan pahala yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang yang
berjihad atas orang yang duduk (tidak berjihad) dengan pahala yang
besar.” (An Nisaa’: 95)
Maka dengan pengorbanan itu lahirlah tamadun Islam seperti zaman
Rasulullah SAW, Khulafaur Rasyidin dan salafus-soleh. Mereka telah pun
korbankan segala-galanya untuk membuktikan cinta agung mereka.
Rasulullah SAW berkorban selaju angin kencang. Sayidina Abu Bakar
habiskan semua hartanya sehingga yang tinggal hanya Allah dan Rasul
sahaja. Sayidina Umar Al Khattab tiga perempat hartanya habis
dikorbankan. Sayidina Usman Affan pula korbankan separuh daripada
hartanya dan begitulah para Sahabat yang lainnya. Walaupun miskin tapi
tetap juga berkorban. Jika tidak ada pengorbanan, ertinya cinta itu
adalah palsu. Cinta itu mesti dibuktikan dengan pengorbanan.
Di sini dapat difahami bahawa kesan daripada cinta Allah dan
Rasulullah serta cintakan hari Akhirat, jadi pendorong kepada seseorang
itu sanggup berkorban hingga dapat membangunkan kemajuan dan tamadun
Islam. Kalau cinta kepada Allah dan Rasul tidak mendalam atau langsung
tidak ada, maka seseorang itu tidak akan sanggup berkorban
berhabis-habisan. Mungkin tangannya menghulurkan wang untuk jihad tetapi
hatinya tidak ikhlas. Ada kepentingan atau ada udang di sebalik batu.
Mungkin kerana ingin undi, ingin dipuji, ingin dibalas jasanya dan
sebagainya. Maka lahirlah tamadun yang tidak bercorak Islam.
Bila seseorang itu cintanya kepada Allah dan Rasul tidak mendalam,
maka dia tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Pengorbanan itu
tidak wujud darinya. Kesannya, umat Islam tidak akan maju dan tidak
dapat melahirkan tamadun Islam. Juga tidak akan hidup bertolong bantu.
Tenaga, fikiran, masa, wang ringgit dan harta dihabiskan untuk
membangunkan sistem riba, hotel-hotel untuk kemungkaran, disko untuk
puaskan nafsu, kilang atau ‘factory’ untuk ada peluang melabur atau
untuk mendapat saham kosong, membangunkan sekolah atau universiti untuk
dapat ilmu yang banyak tetapi niat untuk pangkat dan jawatan, bukan
untuk Allah dan Rasul.
Pembangunan atau tamadun begini, walau macam mana pesat sekalipun ia
adalah kerana cinta nafsu dan diri sendiri. Ini akan menjadikan manusia
itu rosak seperti sombong, gila dunia, rakus, mementingkan diri dan
sebagainya. Inilah yang banyak berlaku di dunia hari ini. Kemajuan dan
tamadun yang begitu tinggi, tidak dapat menyelamatkan insaniah manusia.
Kemajuan yang tidak memberi ketenangan, kebahagiaan, keharmonian dan
keamanan. Oleh itu pengorbanan yang dicurahkan itu tidak dianggap
pengorbanan. Ia diibaratkan barang buruk yang dihadiahkan kepada kita.
Begitulah pengorbanan yang Allah minta tetapi kita balas dengan
kejahatan.
Jadi orang yang tidak berkorban itu sebenarnya orang yang menjadikan
atau menggunakan harta dan dirinya untuk kepentingan dirinya
semata-mata. Firman Allah: “Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan
tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka berikan khabar untuk mereka
dengan azab yang maha pedih. Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam
Neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan
punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka, ‘Inilah harta bendamu
yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat
dari) apa yang kamu simpan itu’.” (At Taubah: 34-35)
CARILAH HARTA UNTUK TUHAN
Marilah kita berusaha mencari harta benda dunia untuk Tuhan
Di sini ada pahala, di sini juga ada kemajuan di sini ada keredhaan Tuhan
di sini juga ada jalinan kasih sayang sesama insan
Ia bukan untuk dicinta
ia untuk ditadbir dan diagih-agihkan sesama insan untuk kasih sayang sesama
Dari kasih sayang lahirlah perpaduan sesama insan
Apabila diagih-agihkan untuk keperluan manusia kerana Tuhan di situ ada pahala
Apabila diagih-agihkan untuk kepentingan manusia menjelmalah kemajuan bersama
Oleh kerana agihan itu ada tujuan kerana Tuhan keredhaan Tuhan pun datang
Agihan itu juga menjalinkan kasih sayang sesama manusia atau insan
Di sini ada pahala, di sini juga ada kemajuan di sini ada keredhaan Tuhan
di sini juga ada jalinan kasih sayang sesama insan
Ia bukan untuk dicinta
ia untuk ditadbir dan diagih-agihkan sesama insan untuk kasih sayang sesama
Dari kasih sayang lahirlah perpaduan sesama insan
Apabila diagih-agihkan untuk keperluan manusia kerana Tuhan di situ ada pahala
Apabila diagih-agihkan untuk kepentingan manusia menjelmalah kemajuan bersama
Oleh kerana agihan itu ada tujuan kerana Tuhan keredhaan Tuhan pun datang
Agihan itu juga menjalinkan kasih sayang sesama manusia atau insan
Sungguh indahnya hidup bersama harta kerana Tuhan
Sekiranya ia ditadbir dengan bijaksana
Faedahnya begitu global
mencakup dunia dan Akhirat
Dapat pahala, dapat keredhaan Tuhan
dapat kemajuan dapat jalinkan kasih sayang sesama insan
Hilanglah hasad dengki, hilanglah iri hati
hilang benci-membenci hilanglah permusuhan
Sekiranya ia ditadbir dengan bijaksana
Faedahnya begitu global
mencakup dunia dan Akhirat
Dapat pahala, dapat keredhaan Tuhan
dapat kemajuan dapat jalinkan kasih sayang sesama insan
Hilanglah hasad dengki, hilanglah iri hati
hilang benci-membenci hilanglah permusuhan
Hari ini yang terjadi kerana harta datang hasad dengki menyerang
Kerana harta datang berebut-rebutan pecah ukhwah, retak perpaduan
Pecah-belah keluarga, renggang persaudaraan hilang kasih sayang sesama hamba Tuhan
Kerana harta tercetus permusuhan datang perbalahan berlakulah pergaduhan
Jadikanlah harta untuk keredhaan Tuhan
jadikanlah harta untuk kasih sayang
Jadikanlah harta untuk kemajuan jadikanlah harta untuk kepentingan bersama
Dunia aman, damai, hidup rasa bersama bahagia dan harmoni
Sungguh indah hidup bersama dunia untuk Tuhan ia selamat-menyelamatkan
Rahsianya adalah cintakan Tuhan maka dunia ini akan dapat diagih-agihkan sesama insan
Kerana harta datang berebut-rebutan pecah ukhwah, retak perpaduan
Pecah-belah keluarga, renggang persaudaraan hilang kasih sayang sesama hamba Tuhan
Kerana harta tercetus permusuhan datang perbalahan berlakulah pergaduhan
Jadikanlah harta untuk keredhaan Tuhan
jadikanlah harta untuk kasih sayang
Jadikanlah harta untuk kemajuan jadikanlah harta untuk kepentingan bersama
Dunia aman, damai, hidup rasa bersama bahagia dan harmoni
Sungguh indah hidup bersama dunia untuk Tuhan ia selamat-menyelamatkan
Rahsianya adalah cintakan Tuhan maka dunia ini akan dapat diagih-agihkan sesama insan
Tidak ada komentar:
Posting Komentar