Senin, 12 Oktober 2015

KESAN DARI MAKANAN ROH TIDAK BAIK

KESAN DARI MAKANAN ROH TIDAK BAIK

Roh (hati) jadi rosak (jahat) disebabkan oleh pemakanannya. Sama ada berpunca dari makanan yang tidak baik atau tersalah pilih makanan yang tidak bersih atau makanan roh itu terdedah kepada maksiat dan mungkar. Kesannya, roh yang jahat akan mendorong anggota-anggota lahir turut menjadi jahat.
Ada golongan yang berkata, “Saya sudah sembahyang, puasa, zikir, selawat, baca Quran, berkorban, berjihad, berdakwah dan buat lain-lain kebaikan tetapi hati tetap tidak terhibur atau jiwa masih tidak tenang.”
Dalam maksud yang lain, hati itu tetap juga sakit atau masih berpenyakit. Yakni hati masih lagi bersifat pemarah, tidak sabar, hasad, dendam, mengumpat, bakhil, tidak ada kasih sayang dan lain-lain lagi. Kenapa jadi begitu? Bagaimana pula untuk mengatasinya?
Untuk menjawab persoalan ini saya jawab begini: Kiaskan pemakanan roh sama dengan pemakanan jasad lahir kita. Kalau jasad lahir kita sudah diberikan dengan makanan yang baik dan berzat, tetapi tidak juga badan itu sihat. Ertinya, kena kaji juga bagaimana makanan itu disajikan. Apakah kerana cara memasak itu tidak betul? Adakah kerana makanan itu belum sempat masak, kita sudah memakannya. Adakah makanan itu terdedah dengan pencemaran? Adakah makanan tersebut sudah tercampur racun atau sudah basi? Adakah kita makan terlalu banyak atau mungkin makanan yang merosakkan badan juga turut kita makan?
Katakanlah makanan yang baik dan berzat itu ialah nasi, daging, ikan, sayur, susu dan lain-lain lagi. Kalau dimasak nasi dengan cara yang tidak betul seperti terlalu kuat apinya hinggakan nasi menjadi hangit, maka akan hilanglah zat karbohidratnya. Ikan yang segar dan mempunyai protin, kalau belum sempat masak, kita sudah memakannya, tentulah tidak sedap rasanya kerana ia masih mentah. Begitu juga dengan sayur-sayuran hijau yang banyak mengandungi vitamin C, kalau dimakan tanpa dibasuh dengan bersih, tentu ia akan terdedah kepada kuman penyakit atau beracun (racun serangga). Susu yang mempunyai zat lemak, kalau disajikan setelah susu itu basi, ia bukan lagi memberi kesihatan pada badan, bahkan akan memudaratkannya. Apatah lagi kalau makanan yang berzat itu disertai dengan racun atau keracunan, tentu racun itulah yang akan menguasai seluruh badan, merosak dan menyakitkan badan.
Adapun teknik atau cara atau kaedah menyajikan makanan itu pun mesti kita faham betul-betul. Barulah makanan yang baik dan berzat itu jadi begitu sedap dan menyelerakan. Kalau salah cara memasaknya akan tinggal hampas-hampas sahaja. Tidak ada zatnya lagi. Walhal makanan itu asalnya baik, bermutu tinggi, penuh dengan zat tetapi hasilnya tetap sama sahaja dengan orang yang makan makanan tidak baik atau tidak berzat atau orang yang makan makanan beracun. Ertinya, tetaplah makanan itu tidak dapat menyuburkan badan. Bahkan badan tidak sihat dan mudah diserang dengan penyakit serta selalu saja sakit.
Begitu juga dengan roh. Makanan roh yang baik ialah sembahyang, puasa, zikir, selawat, baca Al Quran, berkorban, berjihad, berdakwah, belajar, berkhidmat kepada masyarakat dan lain-lain kebaikan lagi. Walaupun makanan roh yang baik seperti di atas itu sudah dilakukan, ia tetap tidak mendatangkan ketenangan kerana ia mungkin dilakukan dengan cara yang tidak sempurna dan tidak tepat dengan ilmunya. Atau dilakukan dengan cara yang tidak ikhlas atau tidak dihayati dengan jiwanya. Tentulah ibadah-ibadah tersebut tidak akan memberi kesan kepada jiwa dan fikiran. Jadi, kalau sudah tidak memberi kesan kepada jiwa dan fikiran, tentulah ia juga tidak akan memberi kesan kepada tindakan anggota lahir. Yakni anggota lahir tetap juga jahat.
Contoh-contohnya:
1.Sembahyang tetapi tidak menghayatinya, lalai dan berkhayal sewaktu menunaikannya. Sembahyang begini tidak akan memberi kesan apa-apa pada hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran, tentulah ia juga tidak akan berkesan pada anggota lahir.
2.Rajin baca Al Quran tetapi tidak melaksanakan tuntutan-tuntutan dari ayat-ayat yang dibaca itu, tentulah tidak akan memberi kesan apa-apa kepada hati dan fikiran. Ia tentunya tidak berkesan juga pada anggota lahir.
3.Selawat, zikir, berjuang, berjihad dan berdakwah tetapi tidak dari hati. Hanya ucapan di lidah sahaja. Tentulah tidak berkesan apa-apa kepada hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran, tentulah ia juga tidak berkesan apaapa pada anggota lahir.
4.Berkorban, bersedekah, lain-lain kebaikan dan kebajikan juga, kalau tersalah cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan sempurna, bukan kerana Allah, tidak pada tempatnya atau tidak dihayati, maka kesannya tidak akan sampai ke hati dan fikiran. Apabila tidak berkesan di hati dan fikiran, tentulah tidak berkesan juga kepada anggota lahir.
Adapun semua makanan roh yang baik ini walaupun asalnya baik tetapi oleh kerana tidak faham cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan sempurna, tidak dihayati di hati atau membuat perkara itu tetapi tidak disertai dengan mujahadatun nafsi, maka hasilnya tetap sama dengan orang yang tidak melakukannya. Yakni tidak dapat memberi kekuatan kepada roh (jiwa atau hati).
Kalau begitu roh tetap tidak sihat, lemah jiwa, mudah diserang penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, riyak, pemarah, bakhil, dendam dan lain-lain mazmumah lagi. Penyakit-penyakit mazmumah (keji) tetap juga tidak terubat. Sebab itu hati tidak tenang, gelisah dan keluh-kesah.
Roh atau hati juga boleh jadi rosak (jahat) kalau kita campurkan antara membuat perkara yang baik dengan membuat perkara-perkara yang jahat. Walaupun perkara-perkara yang baik itu dibuat tetapi dalam masa yang sama masih melanggar pantang-larang syariat seperti bergaul bebas lelaki dan perempuan, mendedahkan aurat, makan makanan yang haram dan subahat, suka mengumpat, memfitnah orang, gila dunia, gila pangkat dan gila puji, maka tentulah makanan roh yang baik tadi tidak akan memberi kesan.
Kiasannya, macam memakan makanan yang berzat dicampur dengan racun. Kita tentu dapat mengagak apa yang akan terjadi. Tentulah bukan makanan yang berzat yang berperanan tetapi racun itulah yang kuat menjalar cepat dan aktif dalam badan. Akhirnya, merosakkan seluruh urat saraf dan saluran darah serta daging. Badan akan rosak dan sakit-sakit dengan parahnya.
Begitulah juga kalau makanan roh yang baik dicampur dengan makanan roh yang tidak baik. Tentulah makanan roh yang tidak baik itu yang lebih berperanan. Jadi kalau yang hak dan yang batil sama-sama dilakukan, maka yang batil itulah yang akan lebih memberi kesan pada akal, hati serta tindakan lahir. Oleh kerana itulah Allah berpesan dalam firman-Nya: “Apakah kamu percaya dengan setengah dari kitab dan ingkar dengan sebahagiannya. Tidak ada balasan orang yang melakukan demikian melainkan hina hidup di dunia.” (Al Baqarah: 85)
Ertinya, kalau perintah suruh Allah (yang hak) dan larangan Allah (yang batil) dibuat serentak samalah dengan orang yang percaya dengan sebahagian dari kitab dan ingkar dengan sebahagian lainnya. Jadi untuk golongan ini, hukuman yang setimpal di atas kedegilan mereka ini ialah Allah hinakan hidup mereka di dunia lagi.
Terhinanya hidup mereka ini berpunca dari sifat-sifat mazmumah yang masih bersarang dalam diri mereka itu seperti sifat pemarah, ujub, sum‘ah, sombong, keras hati, tamak, hasad, dengki, mengumpat, bakhil, gila dunia, gila pangkat, gila puji dan lain-lain mazmumah lagi.
Sifat-sifat jahat (penyakit-penyakit jiwa) inilah yang menjadikan jiwa tidak tenang, gelisah, keluh-kesah dan tidak bahagia serta boleh merosakkan orang lain dan masyarakat. Tetapi manusia kebanyakannya tidak sedar bahawa sifat-sifat mazmumah yang wujud dalam diri mereka itulah yang menjadi punca tidak adanya ketenangan dan kebahagiaan sekalipun dia seorang raja, pemerintah negara, ulama, pemimpin, orang kaya dan sebagainya. Kerana itulah Allah melarang dalam firman-Nya: “Jangan kamu campurkan yang hak dan yang batil.” (Al Baqarah: 42)
Ertinya, dalam kita berbuat baik, jangan dicampur dengan perbuatan yang jahat atau perintah suruh dibuat, perintah larang juga dilaksanakan.
Kesimpulannya, bila membuat atau melakukan yang baik dan yang jahat sekaligus, yang jahat itulah yang akan lebih berpengaruh dan berkesan dalam kehidupan. Akibatnya, kebaikan itu tidak akan jadi apa-apa atau sia-sia sahaja sebab sudah dirosakkan oleh perbuatan yang jahat itu

Tidak ada komentar:

Posting Komentar