Senin, 12 Oktober 2015

BEDANYA ANTARA MUKJIZAT DENGAN KARAMAH

BEDANYA ANTARA MUKJIZAT DENGAN KARAMAH

MUKJIZAT
Mukjizat ialah hal-hal atau kejadian-kejadian yang berlaku yang Allah kurniakan pada rasul-rasul atau nabi-nabi yang menyalahi adat kebiasaan – khawariqul ‘adah (atau ia berlaku di luar logik akal). Tujuannya untuk kemuliaan dan kebenaran di pihak para rasul dan nabi dan juga untuk melemahkan musuh-musuhnya.
Mukjizat itu terbahagi kepada dua bentuk iaitu:
1. Mukjizat lahir
2. Mukjizat batin (maknawiah)
MUKJIZAT LAHIR
Ia adalah perkara yang mencarik adat yang berlaku pada seseorang rasul dan nabi, yang dapat dilihat dengan mata lahir. Antara contohnya, tongkat dicampak bertukar menjadi ular, manusia atau binatang mati dihidupkan, penyakit kusta dan sopak dapat disembuhkan, mata buta dapat dicelikkan, air yang sedikit dapat diminum oleh ratusan orang, dibakar tidak hangus, tongkat dipukul ke batu menghasilkan pancutan air, bulan terbelah dua, tongkat dapat membelah lautan dan sebagainya.
MUKJIZAT BATIN (MAKNAWIAH)
Mukjizat ini hanya pada makna sahaja, tidak pada rupa. Terasa adanya dan boleh dinilai oleh mata hati (basyirah) sahaja. Tidak dapat dilihat oleh mata lahir. Antara contohnya ialah wahyu-wahyu yang disampaikan kepada rasul dan nabi yang mengandungi bermacam-macam ilmu pengetahuan dan hukum-hakam tanpa mereka belajar seperti manusia biasa. Umpamanya Al Quran, Injil, Taurat, Zabur dan Suhuf-Suhuf, ianya tidak dapat dilihat dengan mata kepala kecuali setelah ditulis.
Mukjizat batiniah yang lain ialah:
.             dapat tundukkan nafsu tanpa mujahadah
.             Allah kurniakan bersih dari dosa dan kesalahan
.             hati tidak terpaut dengan dunia dan kelazatan serta keindahannya
.             mendapat ilmu dan tarbiah terus dari Allah atau mendapat wahyu
.             manusia jatuh hati dan cinta luar biasa padanya
.             musuh merasa gerun dengan kehebatannya
.             sangat sabar dengan ujian-ujian dari kaumnya
.             azamnya terlalu kuat, hati terlalu teguh, cintanya dengan Allah terlalu tinggi dan lain-lain lagi.
Mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada nabi dan rasul bukan diberi mengikut kehendak para rasul dan nabi itu sendiri. Tetapi dicatu sesuai dengan hal semasa dan keperluan seseorang nabi dan rasul itu. Dan ia tidak boleh dipelajari tetapi hadiah atau mauhibbah atau wahbiah dari Allah. Dalam sejarah rasul-rasul dan nabi-nabi, mukjizat-mukjizat yang pernah diberikan kepada mereka tidak sama di antara satu sama lain. Kebiasaannya mereka diberi mukjizat di kedua-dua peringkat. Kalau dia seorang nabi; ertinya dia bukan seorang pemimpin yakni bukan untuk masyarakat; maka Allah berikan mukjizat yang sesuai dengan wataknya sebagai seorang abid. Mungkin mukjizat lahir atau batin yang diberikan itu sesuai dengan keperluannya sebagai abid.
Tetapi pada seorang Rasul yang dia adalah pemimpin umatnya, maka Allah kurniakan mukjizat lahir dan batin (maknawiah), sesuai dengan keperluannya berdepan dengan umat yang dipimpinnya. Rasul-rasul yang paling banyak mendapat mukjizat ialah rasul-rasul yang mendapat pangkat Ulul Azmi kerana mereka ini paling tahan, paling sabar berhadapan dengan ujian-ujian berat daripada kerenah kaumnya. Pemberian mukjizat pada nabi-nabi dan rasul-rasul ini tidak sama kerana keperluan mereka juga berbeza antara satu sama lain. Adakalanya mereka tidak boleh ikut-mengikut di antara satu sama lain.
Mukjizat Nabi Musa a.s. tidak sama dengan mukjizat Nabi Khaidir a.s. Padahal Nabi Musa a.s. itu lebih besar darjat dan keutamaannya dari Nabi Khaidir a.s. Nabi Musa salah seorang Ulul Azmi sedangkan Nabi Khaidir a.s. hanya nabi, bukan rasul. Bahkan sesetengah ulama masih mempertikaikan tentang kenabian Nabi Khaidir. Ada yang menganggap beliau hanya orang soleh yang bertaraf wali sahaja. Tetapi antara mereka berdua di suatu ketika, Nabi Khaidir diberi mukjizat maknawiah (batin). Walhal di waktu itu tidak diberi kepada Nabi Musa. Tiga hari saja mereka dapat berkawan. Sedangkan sebelum itu Nabi Khaidir sudah ingatkan Nabi Musa, “Kau takkan sanggup ikut aku, kau takkan tahan sabar.” Ini kerana peranan antara nabi dengan rasul itu berbeza. Nabi bukan pemimpin sedangkan rasul adalah pemimpin. Nabi mengikut takrifnya ialah seorang lelaki Islam yang merdeka, baligh dan berakal yang diberi wahyu tetapi hanya untuk dirinya sendiri dan tidak wajib menyampaikannya kepada orang lain. Bila tidak wajib menyampaikan, maknanya dia bukan seorang pemimpin.
Sedangkan rasul, seorang lelaki Islam yang merdeka, baligh dan berakal yang diberi wahyu dan dia wajib mengamalkannya dan wajib menyampaikan kepada umatnya. Maknanya, dia pemimpin dan pendidik. Nabi Musa a.s. seorang rasul, dia memimpin dan mendidik kaumnya. Antara mukjizat maknawiyah yang ada pada Nabi Musa a.s. ialah tahan sabar, kuat azam, kuat jiwa berhadapan dengan Firaun. Sangat sabar bila disusah-susahkan oleh kerenah pengikutnya serta tahan berpindah-randah di tanah gurun panas yang mencengkam itu atau bila sejuk terlalu dingin. Ketabahan hatinya itu Allah nilai. Akhirnya Allah marah kepada Bani Israil dengan disesatkan mereka selama 40 tahun dan dibiarkan terumbang-ambing di Padang Teh. Nabi Musa juga turut sama teruji bersama-sama pengikutnya itu. Walhal kesalahan itu bukan dibuat olehya. Tetapi kerana Allah hendak menghukum orang lain, dia juga turut sama terhukum. Walau bagaimanapun dia tetap tahan menderita dan sabar dengan ujian yang sangat menyeksakan itu. Tahan jiwa, tahan sabar, kuat azam, teguh hati dan tabahnya dengan ujian yang berat yang datang dari perangai jahat umatnya. Ini mukjizat maknawiyah yang berlaku padanya. Tetapi pada kebanyakan orang, bentuk-bentuk ini tidak dianggapnya sebagai mukjizat kerana tidak dapat dilihat dengan mata kepala.
Manakala mukjizat maknawiah (batin) yang berlaku pada Nabi Khaidir lain pula bentuknya yakni dikasyafkan. Dia nampak apa yang bakal berlaku iaitu kapal akan dimusnahkan oleh perompak. Langsung kapal itu ditenggelamkannya. Cuba bayangkan kalau Nabi Musa pun dapat mukjizat maknawiah begitu? Dia juga kemudiannya akan tenggelamkan kapal itu. Walhal dia pemimpin umatnya. Tentulah pengikutnya lebih sulit hendak mengikut kepimpinannya dan akan mempertikaikan perbuatannya. Dia dianggap pula sebagai perosak dan penzalim.
Macamlah pemimpin sekarang ini, kalau Allah kurniakan dia keramat maknawiah, katalah dia membakar Mercedes atau bunuh orang. Sebab dia nampak batin orang itu akan merompak dengan menggunakan Mercedes itu. Apa yang akan terjadi? Bolehkah orang ramai terima kepimpinan begitu? Tentu orang akan tolak bahkan boleh jadi orang akan tuduh dia sebagai pembunuh! Jadi Nabi Khaidir diberi mukjizat bentuk itu kerana dia tidak memimpin ummah.
Manakala Nabi Musa a.s. tidak diberikan mukjizat maknawiah seperti Nabi Khaidir a.s. di waktu itu. Kalaulah Nabi Musa diberi kasyaf, nampak apa yang akan terjadi sepertimana Nabi Khaidir, tentulah haru-biru masyarakat. Ada yang akan marah dan mengamuk kerana harta benda mereka dijahanamkan. Walhal mengenai strategi perang atau berkait dengan halhal keselamatan ummah, Allah kurniakan mukjizat lahir pada Nabi Musa a.s. Bukan untuk dirinya tetapi untuk keselamatan umum. Buktinya, sewaktu tali-tali ahli-ahli sihir Firaun bertukar menjadi ular, tongkat Nabi Musalah yang berperanan menjadi ular besar yang menelan habis kesemua ular-ular Firaun itu.
Bukankah ini di luar logik, di luar kebiasaan. Inilah mukjizat zahir. Allah lakukan sihir itu tidak memberi kesan langsung dan tongkat mampu menjadi ular besar yang menelan seluruh ular-ular itu. Ini menunjukkan mukjizat bentuk itu amat perlu di waktu itu untuk meyakinkan orang ramai yang menyaksikan tentang keagungan Allah dan demi menyelamatkan keyakinan umat. Di atas kejadian-kejadian inilah akhirnya ahli-ahli sihir itu turut beriman kepada Allah dan kepada Nabi Musa. Firman Allah SWT: “Lalu ahli-ahli sihir itu bersujud seraya berkata: ‘Kami telah beriman dengan Tuhan Harun dan Musa’.” (At Taha: 70)
Begitu juga mukjizat tongkat Nabi Musa dapat membelah laut sewaktu dikejar Firaun dan tentera-tenteranya. Ini perlu di waktu itu untuk keselamatan Nabi Musa dan kaumnya. Sekali-gus membunuh mati penentang-penentang Allah itu. Ini juga luar biasa dan di luar logik. Mana mungkin hanya sebatang tongkat bisa membelah lautan? Mustahil. Tetapi itulah yang terjadi dan telah berlaku. Inilah mukjizat lahir Nabi Musa yang berlaku yang sangat diperlukan oleh Nabi Musa demi untuk menyelamatkan umatnya. Allah lakukan ini semua untuk keselamatan kekasih-Nya dan meyakinkan lagi kaumnya.
Contoh mukjizat Nabi Ibrahim pula, Raja Namrud dan rakyatnya kerana terlalu marah dengan pegangan dan perjuangan Nabi Ibrahim lantas menangkap dan mahu membunuhnya. Dicampakkan ke dalam api yang menjulang tinggi laksana gunung. Api mengikut kebiasaan adatnya membakar. Tetapi aneh! Api di waktu itu tidak pun membakar Nabi Ibrahim. Bahkan berlaku sebaliknya. Nabi Ibrahim terasa sejuk. Ini berlaku di luar kebiasaan atau di luar logik. Inilah mukjizat zahir. Allah lakukan api sebesar itu tidak menjadi sebab membakar Nabi Ibrahim. Hal ini amat perlu di waktu itu. Kalau tidak, tentunya Nabi Ibrahim sudah terbakar hangus.
Pada Rasulullah SAW pula, antara mukjizat yang berlaku padanya ialah diberi ilmu tanpa belajar. Pernah musuh-musuh baginda di kalangan orang-orang Yahudi telah menghantar pendita-penditanya untuk menguji Baginda. Mereka menyoal baginda dengan tujuan memberi malu, menjatuhkan maruah dan kewibawaan Baginda.
Biasanya seorang yang tidak pernah belajar di mana-mana sekolah, yang tidak tahu membaca dan menulis pula, tentulah tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Tetapi yang anehnya, semua soalan yang diajukan walau apa bentuk masalah atau persoalannya, semuanya dapat dijawab oleh Rasulullah SAW dengan baik dan tepat. Dan ini sangat memeranjatkan musuh. Bahkan mereka pula yang malu dan akur dengan jawapan-jawapan Baginda itu. Akhirnya mereka pulang dengan hampanya kerana ketua pendita mereka sendiri telah memeluk Islam, setelah mendapati kebenaran Rasulullah SAW. Ini berlaku di luar logik.
Inilah yang dikatakan mukjizat maknawiah. Allah kurniakan mukjizat ini menunjukkan perlu di waktu itu dan sesuai pula dengan hal-hal semasa kerana yang datang itu semuanya cerdik pandai yang hendak menguji keilmuan Rasulullah SAW. Kalau tidak tentulah kebenaran Allah dan Rasul-Nya akan ditolak oleh musuh buat selama-lamanya.
Daripada huraian-huraian di atas, nyatalah Allah kurniakan mukjizat pada rasul-rasul dan nabi-nabi-Nya bukan sesuka hati, tetapi dicatu mengikut keperluan semasa. Untuk tujuan kemudahan, keindahan dan keselamatan ummah. Kebanyakan nabi-nabi dan rasul-rasul diberikan mukjizat maknawiah lebih daripada mukjizat lahiriah. Rasul-rasul yang paling banyak mendapat mukjizat lahiriah dan maknawiah ialah di kalangan lima orang yang berpangkat Ulul Azmi sahaja. Iaitu Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim, Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Nuh a.s. Mereka ini semuanya terlalu kuat azam, hati teguh, hati terlalu kuat bergantung dengan Allah, sabar dan tabah dalam meng-hadapi ujian-ujian dan kedegilan kaum-kaum mereka. Demi-kianlah huraian secara ringkas tentang mukjizat. Moga-moga kita sama-sama memahaminya.
KARAMAH
Karamah adalah dari bahasa Arab yang bermaksud kemuliaan atau kemurahan iaitu kemuliaan atau kemurahan yang Allah kurniakan pada hamba-Nya yang bertaqwa, yang bukan bertaraf rasul dan nabi tetapi pada yang bertaraf wali. Ia berlaku pada seseorang itu dengan menyalahi adat kebiasaan, di luar logik akal atau khawariqul ‘adah. Umpamanya dapat rezeki tanpa diduga atau tanpa logik, dapat ilmu tanpa berguru, dapat bantuan-bantuan yang tidak terduga, dapat kasyaf, hatif dan firasat. Ini semua dikatakan karamah.
Apa yang kita sebut tadi semuanya adalah kemuliaan atau kemurahan yang datangnya dari Allah. Siapa yang mahu menafikan bahawa itu semua adalah satu kemuliaan? Memiliki karamah maknanya memiliki beberapa kemuliaan yang Allah kurniakan tanpa diduga, tanpa usaha, tanpa logik dan di luar kebiasaan atau menyalahi adat.
Karamah boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu:
1. Karamah zahir
2. Karamah maknawiah (batiniah)
KARAMAH ZAHIR (KARAMAH LAHIR)
Ia boleh dilihat oleh mata kepala kerana mata mudah melihat dan menilainya. Antara contohnya, dapat berjalan di atas air, dapat terbang di udara, ditikam atau ditembak tidak lut, racun diminum tidak membawa maut, daun dipegang bertukar men-jadi duit, digenggam buah keluar darah, binatang ganas seperti harimau jadi jinak dan jadi khadamnya, boleh melompat ke atas gunung dan ribuan macam bentuk lagi. Untuk mengetahui secara luas, saya cadangkan pada para pembaca membaca buku
Jami’u Karamatil Auliya’
KARAMAH MAKNAWIAH (KARAMAH BATINIAH)
Karamah ini hanya pada makna saja, tidak pada rupa. Karamah ini tidak dapat dilihat oleh mata lahir tetapi boleh dirasa adanya dan dinilai oleh mata hati sahaja. Ia lebih baik dari karamah lahir dan lebih berkesan. Contohnya, mudah memerangi hawa nafsu tanpa mujahadah yang bersungguh-sungguh, hati tidak terpaut dengan dunia, mendapat ilmu tanpa belajar (ilmu laduni), lidah masin yakni cakap atau nasihat mudah terkesan di hati orang hingga boleh mengubah jiwa dan sikap seseorang dengan cepat, kasyaf, hatif dan rasa hatinya tepat. Itulah yang dikatakan ilmu firasat. Dalam Hadis, sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan cahaya dari Allah.” (Riwayat Tirmizi dan At Tabrani)
Karamah maknawiah itu juga termasuklah seseorang itu mendapat kasyaf atau dapat melihat alam ghaib, orang lain memberi kasih sayang yang luar biasa padanya, musuh terasa gerun dan memandangnya hebat tanpa dia mengetahuinya, dia istiqamah beramal sama ada amalan fardhu ataupun sunat. Jiwanya juga tenang kerana hatinya kuat dengan Allah dan terlalu sabar waktu diuji. Sama ada dipuji atau dikeji, dia tidak terasa apa-apa. Tanpa mujahadah, baginya tidak ada perbezaan antara pujian dan kejian. Jiwanya teguh serta mempunyai azam yang kuat dalam menegakkan kebenaran. Walau apa pun bentuk ujian yang ditimpakan padanya, ia tidak menggoncangkan sikap dan jiwanya.
Karamah ini diberi mengikut keperluan seseorang, sesuai dengan keadaan semasa dan kepentingannya. Kalau dia seorang abid, ertinya dia bukan seorang pemimpin masyarakat, Allah berikan karamah batin yang bersesuaian dengan watak abidnya itu. Manakala pada seorang pemimpin yang diperlukan oleh umatnya, selalunya Allah kurniakan karamah zahir atau batin sesuai dengan keperluannya pula. Sayidina Abu Huzaifah r.a. adalah seorang ahli abid, bukan pemimpin. Karamah maknawiah yang Allah kurniakan padanya ialah dapat mengetahui sama ada seseorang itu munafik atau tidak. Sebab itu sekiranya ada orang yang meninggal dunia, Sayidina Umar akan melihat sikap Abu Huzaifah terlebih dahulu. Kalau Abu Huzaifah menyembahyangkan jenazah tersebut, maka dia pun akan turut serta.
Begitulah sebaliknya. Ertinya, Sayidina Umar tidak diberi karamah batin sepertimana karamah Abu Huzaifah yang mengetahui orang munafik. Padahal dari segi ilmu lahirnya, siapa yang lebih tinggi darjat dan kemuliaannya antara mereka berdua? Tentulah kelebihannya ada pada Sayidina Umar. Beliau termasuk antara sepuluh Sahabat yang dijamin Syurga oleh Rasulullah, tergolong antara Sahabat yang rapat dengan Rasulullah, yang terawal memeluk Islam, mertua Rasulullah, ahli Badar serta khalifah yang kedua selepas Rasulullah. Kelebihannya juga pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW sendiri, antaranya: “Kalaulah ada nabi selepas aku, tentulah dia Umar bin Al Khattab.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Hakim) Kuatnya iman Sayidina Umar sehingga Rasulullah pernah berkata sekiranya suatu lorong itu pernah dilalui oleh Sayidina Umar, maka syaitan selama-lamanya tidak akan menempuh jalan tersebut. Jika syaitan tempuh jalan itu, ia terasa sakit, menderita dan terseksa. Betapa pulalah kalau ia berjumpa dengan Sayidina Umar. Tentulah lagi dahsyat kesannya.
Itulah antara kelebihan yang ada pada Sayidina Umar. Tetapi pelik, mengapa Sayidina Umar tidak dapat kenal siapa orang yang munafik? Mengapa Abu Huzaifah pula yang dapat karamah itu? Ini kerana Abu Huzaifah lebih kepada watak abid daripada watak pemimpin. Karamah Sayidina Abu Huzaifah kebanyakan untuk dirinya tetapi karamah Sayidina Umar untuk keselamatan masyarakat dan umat yang dipimpinnya. Kalau karamah itu diberi kepada Sayidina Umar, tentu sukar baginya untuk memimpin umat dan meratakan kasih sayang terhadap rakyat yang sedang dididiknya. Akibatnya, tentulah haru-biru masyarakat.
Karamah Sayidina Umar bukan untuk dirinya sahaja tetapi ia ada hubungkait dengan kepentingan masyarakat umum. Pernah berlaku, sewaktu Sayidina Umar berada di Madinah, dia dapat memberikan arahan kepada ketua tenteranya bernama Sariyah di Palestin. Waktu itu Sayidina Umar sedang menyampaikan khutbah dan Tuhan telah perlihatkan kepadanya secara kasyaf tentang keadaan tenteranya yang di dalam bahaya.
Anehnya, Sayidina Umar dapat memberitahu ketua tenteranya, “Hai Sariyah, tolong betulkan kedudukan tentera kamu. Naik di atas bukit kerana di belakang bukit itu ada satu pasukan tentera musuh akan memukul kamu.” Ketua tentera tersebut pula dapat mendengar dengan jelas kata-kata Sayidina Umar itu dan terus membetulkan kedudukan tenteranya. Sedangkan di waktu itu tidak ada telefon, faks atau internet dan lain-lain alat-alat perhubungan teknologi canggih. Tetapi begitulah canggihnya karamah Sayidina Umar ini. Suara taqwanya sudah cukup untuk didengar oleh ketua tenteranya dari jarak 1000 batu tanpa menggunakan apa-apa alat pun. Untuk menyelamatkan umat, Allah beri karamah kepada Sayidina Umar sesuai dengan peranannya sebagai seorang pemimpin yang tugasnya menyelamatkan umat. Allah berikan karamah kepada seorang pemimpin tidak sama dengan karamah yang diberi kepada orang soleh yang membawa dirinya sahaja. Apakah hikmahnya? Karamah itu tujuannya untuk keindahan, bantuan dan keselamatan tetapi kalau menimbulkan kesulitan, ia bukan lagi satu karamah atau kemuliaan. Bahkan dianggap satu penghinaan pula.
Sebagai contoh, katalah ada seorang pemimpin yang berdakwah ke kawasan pedalaman. Dengan izin Allah, dia dikurniakan karamah boleh berjalan atas air. Bila dia sampai di sungai, dia terus meluncur berjalan di atas air. Sedangkan pengikut-pengikutnya tidak. Cuba gambarkan bagaimana dengan keadaan pengikut-pengikutnya yang ikut sama. Tentulah mereka tertinggal di belakang sedangkan pemimpinnya sudah sampai ke seberang. Ini tentulah menjadi bala kepada mereka, bala ditinggal pemimpin. Pengikut tertinggal 3 jam, pemimpin pula terpaksa menunggu 3 jam. Sebab itulah Allah tidak berikan karamah bentuk itu kepada para pemimpin. Contoh lain, katakanlah seorang ketua panglima perang yang membawa bersama-samanya tentera yang terpaksa menempuh gurun, padang pasir dan bukit-bukit serta gunung-ganang. Pemimpin tersebut dapat melompat ke sebelah bukit atau gunung itu tetapi pengikut-pengikutnya tidak. Terpinga-pingalah pengikut-pengikutnya mencari jalan untuk sampai kepada pemimpinnya. Tentulah susah, payah dan makan masa yang lama.
Pemimpin juga dapat bala. Bala menunggu pengikut. Akhirnya sama-sama susah. Walaupun pemimpin tersebut dapat melompat, sampai dulu dalam sekelip mata tetapi terpaksa menunggu anak buah, itu pun satu penyeksaan juga. Adakalanya Allah berikan karamah pada seseorang itu tanpa disedarinya. Kebanyakan mereka itu bukan dikurniakan karamah lahir tetapi karamah maknawiah. Sebab itu sesetengah orang tidak menganggap itu karamah.
Contohnya:
1. Lidah masin
Biasanya dikurniakan kepada seorang pemimpin. Di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat.
2. Kasyaf Karamah ini menjadikan Sayidina Umar nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam itu. Ertinya menyelamatkan umatnya. Banyak lagi karamah-karamah yang dikurniakan pada pemimpin-pemimpin selain daripada Sayidina Umar yang semuanya untuk keindahan, kemudahan dan keselamatan umat.
3. Firasat
Sayidina Umar pernah berkata, “Akan ada nanti dari sulbiku se-orang yang akan memenuhi bumi dengan keadilan dan bertanda di dahinya.” Itulah dia Sayidina Umar Abdul Aziz, cicit Sayidina Umar yang menjadi khalifah dan mujaddid di kurun pertama yang terkenal taqwa dan warak dalam sejarah itu. Pemimpinpemimpin yang mendapat karamah-karamah ini tidak banyak kerana Allah kurniakan hanya pada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka.
4. Ilmu laduni
Iaitu ilmu yang Allah kurniakan pada seseorang yang terus jatuh ke hatinya, tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentelaah dan tanpa berguru. Ianya terus jatuh ke hati dan akhirnya jadi ilmu. Ini biasanya diberikan pada pemimpin-pemimpin yang bertaqwa dan yang warak. Orang yang sayang kepadanya, terlalu sayang hingga hilang pertimbangan. Sebaliknya orang yang benci kepadanya juga terlalu benci sehingga hilang pertimbangan. Hikmahnya, orang yang kasihkannya itulah yang akan jadi kawan untuk membantu perjuangannya. Manakala terhadap orang yang membencinya, dia dapat bersabar dengan mereka. Maka dia akan dapat pahala sabar dari-Nya.
5. Hatif
Iaitu mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin yang soleh, malaikat atau waliyullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira atau berita yang negatif. Tujuannya Allah hendak menghiburkannya. Kalau berita itu berita gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya kalau berita itu duka, juga akan menggembirakannya kerana ia telah tahu terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya dia boleh bersiap sedia menghadapi ujian itu. Atau agar dia dapat mengelak daripada bahaya itu sebagai rahmat dari Allah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar