AKHLAK KEPADA ALLAH DAN MANUSIA
Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat
di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan
dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di
dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman yang indah yang
sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia, kekayaan dan
makan minum mewah, budi juga mewah dan terserlah, kemudahan-kemudahan
hidup cukup, tapi disiplin dan tatasusila manusia juga tinggi, tamadun
tinggi tapi manusianya merendah diri, maka roh atau hati atau jiwa
manusia hendaklah dibangunkan.
Dari pembangunan jiwa, akan lahir tamadun kerohanian atau akhlak yang
mulia dan terpuji atau terbangun insaniah manusia yang dikatakan oleh
kita selalu iaitu jati diri.
Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai
penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah
rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota
(rakyat di dalam diri) menjadi baik. Samalah seperti di dalam sebuah
negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan: “Manusia itu mengikut agama pemerintahnya.”
Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya.
Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya
begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati
baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia
(rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota
lahir manusia.
Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi: “Dalam diri anak
Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah
manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati
atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)
Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan
diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun
kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan
Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan
para nabi alaihimussolatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk
pembangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pembangunan
material dan fizikal. Pembangunan material, tanpa rasul dan nabi pun
manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah,
manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan
nabi atau ulama ul amilin.
Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di
dalam Al Quran seperti kaum ‘Aad, kaum Tsamud, kaum Saba’ dan bangsa
Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa
orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan
menentangnya.
Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)
Lagi Sabda Baginda: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At Tabrani)
Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak
yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka.
Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim,
sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara.
Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat
mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia.
Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap
dengab memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah
seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu
berjaya. Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan
orang-orang-Nya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam.
Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya,
kemudian para ulama ul amilin, paling tidak orang yang soleh.
Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:
Pertama: Akhlak kepada Allah.
Kedua: Akhlak kepada manusia.
Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman
kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan,
ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa
mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut,
rasa kasih, sabar, redha, tawakal, khusyuk, khuduk.
Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra,
adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak
ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka.
Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan
haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak
boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti
kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika
disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti
pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan
tujuan yang memberi manfaat.
Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah
sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat
sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam.
Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga
kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh
dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad
dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak
ada orang yang tidak suka dan tertarik.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar